top of page

15 Saintis UMS Tersenarai Antara 2 Peratus Terbaik Dunia

  • nabalunews
  • 6h
  • 2 min read


ree

22 September 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencatat sejarah membanggakan apabila seramai 15 orang saintisnya berjaya menempatkan diri dalam kelompok 2 peratus Saintis Terbaik Dunia 2025, satu pengiktirafan berprestij antarabangsa yang diterbitkan oleh Stanford University dengan kerjasama Elsevier.


Pencapaian tersebut merangkumi 14 saintis yang diiktiraf dalam kategori Single Year Citation Impact bagi tahun 2024, manakala 6 orang lagi tersenarai dalam kategori Career-Long Citation Impact.


Menariknya, beberapa nama cemerlang muncul dalam kedua-dua kategori sekali gus menjadikan keseluruhan yang menerima pengiktirafan ini seramai 15 orang.


Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti keupayaan universiti dari Borneo untuk berdiri sebaris dengan institusi penyelidikan terbaik dunia.


“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini. Ia membuktikan saintis UMS mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia, sekali gus menunjukkan ilmu dan inovasi dari Borneo dapat menyumbang kepada penyelesaian cabaran global,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata, pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa tetapi juga pemangkin kepada pengukuhan kerjasama pada pelbagai peringkat.


Jelasnya, di peringkat tempatan, universiti akan terus bekerjasama dengan komuniti, agensi kerajaan dan industri di Sabah serta Malaysia.


“Di peringkat serantau Borneo, UMS berhasrat memperkukuh jaringan dengan rakan akademik di Sarawak, Brunei dan Kalimantan.


“Manakala di pentas global, fokus utama adalah membina kolaborasi dengan universiti dan organisasi antarabangsa dalam bidang penyelidikan, mobiliti akademik dan inovasi.


“Kejayaan ini hanyalah permulaan. Dengan kepakaran pelbagai bidang, UMS akan terus menjadi jambatan ilmu antara Sabah, Borneo dan dunia,” tambah Datuk Dr. Kasim.


Beliau turut mengumumkan nama-nama saintis yang telah mengharumkan universiti itu di peringkat antarabangsa.


“Antara nama yang tersenarai dalam kategori Single Year Citation Impact ialah Prof. Dr. Hanudin Amin, Dr. Teo Siow Hwa, Prof. Dr. Jason Teo Tze Wi, Prof. Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria, dan Prof. Madya Dr. Christophe Patrice Andie Wiart.


“Turut diiktiraf ialah Prof. Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee, Dr. Noora Barzkar, Prof. Madya Ts. Dr. Rovina Kobun, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, Prof. Dr. Md Lutfor Rahman, Prof. Madya Dr. Shigeharu Sato, Prof. Ts. Dr. Uda Hashim, Prof. Dr. Rayner Alfred, serta Dr. Nurul Elyani Mohamad.


“Sementara itu, dalam kategori Career-Long Citation Impact, antara yang tersenarai termasuk Prof. Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria, Prof. Madya Dr. Christophe Patrice Andie Wiart, Prof. Dr. Jason Teo Tze Wi, Prof. Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, dan Prof. Dr. Md Lutfor Rahman.


“Pengiktirafan 15 saintis UMS itu ini sekali gus memperkukuh reputasi universiti sebagai pusat ilmu yang digelar “Brain of Borneo”, selaras dengan misi untuk mengangkat penyelidikan dan inovasi dari rantau ini ke persada dunia,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page