top of page

150,557 calon lepasan SPM ditawar tempat ke IPTA

  • nabalunews
  • Jun 16, 2025
  • 1 min read

16 Jun 2025


PUTRAJAYA: Seramai 150,557 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah itu merangkumi 67.33 peratus daripada keseluruhan 223,624 permohonan yang diterima melalui sistem UPUOnline.


“Daripada jumlah berkenaan, seramai 86,589 calon ditawarkan tempat di Universiti Awam (UA), 42,058 di Politeknik, 20,427 di Kolej Komuniti dan 1,483 di institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).

“Bagi Tawaran Laluan Khas pula secara keseluruhan adalah sebanyak 17,693 dengan pecahan tawaran kepada 16,189 bagi kategori B40, 590 orang kurang upaya (OKU), 593 atlet dan 321 Orang Asli,” menurut kenyataan itu.


Selain itu katanya, seramai 43 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut ditawarkan tempat di IPTA.


Menurut KPT, secara keseluruhannya, sebanyak 349 program pengajian ditawarkan bagi sesi ini, meliputi 41 program sijil, 55 program asasi, 252 program diploma serta satu program ijazah sarjana muda.

“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KPT memaklumkan saluran peluang kedua kepada calon yang tidak mendapat tawaran kini dibuka melalui proses rayuan di UPUOnline®️ bagi tempoh 10 hari bermula hari ini sehingga 25 Jun ini, sebelum jam 5 petang.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page