150 PATI Dihantar Pulang
- nabalunews
- Mar 11
- 1 min read

11 Mac 2025
KOTA KINABALU: Seramai 150 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya dihantar pulang menerusi Program Pembiayaan Sendiri yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
10 individu daripada jumlah itu melibatkan pelbagai warganegara antaranya Pakistan dan India dipindahkan melalui udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Manakala selebihnya adalah warga Filipina yang dihantar pulang melalui laut di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Bongao, Filipina.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua yang dihantar pulang melibatkan lingkungan usia bayi berusia dua hari hingga individu dewasa berumur 82 tahun.
Katanya, semua bayi dan kanak-kanak yang dihantar pulang ke negara asal diringi sepenuhnya oleh ibu bapa atau penjaga yang sah.
“Semua PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan mempunyai Dokumen Perjalanan atau Pasport Antarabangsa yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal.

"Sehingga ke hari ini, jumlah keseluruhan Pati yang berjaya dipindahkan ke negara asal adalah seramai 2,423 orang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, semua warga asing diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya tempoh dan syarat-syarat kemasukan ke Malaysia seperti mempunyai Dokumen Perjalanan atau Pasport Antarabangsa yang sah serta Visa.
Katanya, pihak JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Comentarios