Amirul Azril Terajui Pemuda UPKO Ranau Sesi 2026-2029
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
RANAU, 21 Jun – Amirul Azril secara rasmi dipilih sebagai Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau bagi sesi 2026-2029, selepas memenangi undian dalam Mesyuarat Agung Tri-Tahunan yang berlangsung di Lohan Rest House, semalam.
Pelantikan beliau bersama Timbalan Ketua Pemuda, Francis Nandoh, diumumkan dalam mesyuarat yang dihadiri kira-kira 300 perwakilan pemuda, bahagian, wanita dan Generasi Muda (GEM) dan dirasmikan oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.
Dalam kenyataannya, Amirul menegaskan bahawa kemenangan itu bukan untuk dirinya sebagai individu, tetapi satu amanah besar untuk membawa suara pemuda UPKO Ranau ke aras lebih tinggi.
Beliau berikrar untuk memikul tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti dan selaras dengan perjuangan visi serta misi parti yang mengutamakan perpaduan, keharmonian, dan kemajuan rakyat Sabah.
"Undian ini bukan untuk saya, tapi untuk pemuda UPKO Ranau. Saya akan mengalas tugas ini dengan baik dan amanah," katanya.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut sebagai pemerhati ialah Ketua Pemuda Pusat UPKO, Felix Joseph Saang, serta ahli Jawatankuasa Pemilihan Parti Datuk Philip Lasimbang dan Datuk William Sampil.
Amirul turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan lama yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan bimbingan sepanjang proses peralihan kepimpinan ini. Beliau berkata, pengalaman dan nasihat daripada mereka akan menjadi panduan penting untuk barisan baharu mengemudi pergerakan pemuda.
Tegas beliau lagi, seluruh barisan baharu komited untuk memastikan setiap program dan dasar pemuda UPKO Ranau selari dengan gagasan Sabah First, demi memastikan manfaat terus dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi, khususnya di daerah Ranau.















Comments