Eco Run Tambulion Ulu Himpun Penyertaan Ramai, Gambarkan Sinergi UMS-Komuniti
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 21 Jun – Program Eco Run Tambulion Ulu yang berlangsung semalam di Dewan Terbuka Ginorowong berjaya menghimpunkan penyertaan ramai daripada komuniti setempat dan peserta luar, sekali gus menunjukkan kejayaan kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan penduduk kampung.
Acara larian yang julung kali dianjurkan ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform memperkukuh hubungan erat antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat dalam menjayakan inisiatif berimpak tinggi.
Pengarah Program Eco Run Tambulion Ulu, Ezzly Fadzly, menyatakan rasa bangga terhadap sambutan luar biasa yang diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Kami amat terharu melihat penyertaan yang begitu menggalakkan. Ini membuktikan komitmen bersama dalam mempromosikan kehidupan sihat dan cintakan alam sekitar," katanya.
Para peserta dilihat bersemangat menamatkan larian sejauh 13.17 kilometer sambil menikmati laluan yang dikelilingi pemandangan kampung yang hijau dan menyegarkan.
Dr. Frederick Josue Frederick Mojilon, Penasihat Service-Learning Malaysia (SULAM) UMS, berkata penglibatan mahasiswa dalam program sebegini memberi pendedahan langsung kepada keperluan sebenar komuniti.
"Ini adalah pengalaman pembelajaran yang amat bermakna dan selaras dengan objektif pendidikan berasaskan komuniti," jelas beliau.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Kampung Daiman Basinau, Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) Walter Duis Kandayon, Pengerusi KRT Handly Sekukut, serta barisan kepimpinan komuniti termasuk Pengerusi Belia dan Pengerusi Tagal Kampung Tambulion Ulu. Kehadiran wakil daripada Maxis turut menyerikan lagi penganjuran program ini.
Selain acara larian utama, pelbagai aktiviti sampingan menarik turut diadakan termasuk Jualan Rahmah pada harga berpatutan, gerai jualan hasil tempatan, dan cabutan bertuah yang menambah kemeriahan sepanjang program berlangsung.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Tambulion Ulu, Boniface @ Doni Jiran, menyifatkan program ini sebagai satu kejayaan menyatukan penduduk kampung.
"Kami berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana memberi manfaat besar kepada seluruh komuniti," ujarnya.
Penganjur melihat sambutan memberangsangkan ini sebagai cerminan semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat. Kerjasama bersama UMS turut membuka ruang kepada perkongsian ilmu, kepakaran, serta penglibatan aktif mahasiswa dalam pembangunan komuniti.
Kejayaan penganjuran Eco Run ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program kolaboratif antara komuniti dan institusi pendidikan pada masa akan datang, sekaligus menyokong hasrat melahirkan masyarakat yang aktif, sihat, dan bersatu padu.















Comments