UPKO sertai GRS langkah strategik perkukuh perpaduan parti tempatan – Pemuda
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KENINGAU, 21 Jun - Keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan langkah strategik ke arah menyatukan parti-parti tempatan di negeri ini, kata Ketua Pemuda UPKO Bahagian Keningau, Jeffsonzo Japrin.
Beliau berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan suara rakyat Sabah terus menjadi keutamaan dalam setiap dasar dan keputusan yang dibuat.
Menurutnya, penyatuan itu bukan sahaja dapat mengelakkan perpecahan sokongan rakyat, malah mampu memperkasakan agenda pembangunan negeri yang berteraskan kepentingan Sabah dan rakyatnya.
"UPKO harus bergerak seiring dengan parti-parti tempatan yang lain kerana hanya melalui kesatuan dan persefahaman, parti-parti tempatan mampu membina kekuatan politik yang lebih kukuh untuk memimpin Sabah," katanya.

Jeffsonzo berkata, langkah itu selaras dengan aspirasi Sabah First yang meletakkan kepentingan negeri mengatasi kepentingan lain.
"Bergabung dalam satu wadah bersama parti-parti tempatan membolehkan UPKO memainkan peranan lebih efektif dalam memperjuangkan hak-hak Sabah, memperkukuhkan autonomi negeri serta memastikan hasil dan sumber negeri dimanfaatkan secara adil untuk kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Presiden UPKO pernah menyeru rakyat memilih parti tempatan Sabah dalam kempen pilihan raya lalu, justeru kemasukan ke GRS dilihat sebagai kesinambungan prinsip perjuangan parti itu.
"Rakyat Sabah mahu melihat pemimpin dan parti politik tempatan bersatu, bukannya berpecah. Kekuatan politik tempatan akan lebih bermakna apabila semua pihak mengetepikan perbezaan demi memastikan Sabah terus maju dan makmur," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UPKO Bahagian Kota Belud, Jolyhame Saran turut menyokong langkah itu dengan menyifatkannya sebagai usaha memperkukuhkan gabungan parti-parti tempatan di Sabah.
Katanya, ia memberikan mesej jelas kepada kerajaan Persekutuan tentang pandangan tempatan dalam membentuk gabungan lebih kuat bagi menuntut isu hak negeri.
Tambahnya, langkah itu juga mampu memberi tekanan kepada parti pembangkang yang bakal berdepan dengan blok gabungan parti tempatan yang jauh lebih besar.















Comments