16 projek pembangunan fizikal Kampung Angkat Madani KPDN siap sepenuhnya
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

12 Julai 2025
PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini menganjurkan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) bertempat di Sekolah Kebangsaan Kaiduan, Papar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program Kampung Angkat MADANI merupakan antara inisiatif baharu Kerajaan Persekutuan yang dimulakan pada tahun 2024.
Katanya, antara objektifnya adalah untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
"Pelaksanaan program ini tidak hanya tertumpu kepada projek-projek infrastruktur, tetapi turut melibatkan pengisian bukan fizikal seperti sesi libat urus bersama komuniti untuk memahami isu dan keperluan sebenar serta penyediaan perkhidmatan bergerak daripada pelbagai agensi kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kampung Angkat Madani Mukim Kaiduan, Papar, dekat sini hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim.
Armizan berkata, bagi pelaksanaan tahun 2024, setiap kementerian ditetapkan untuk memilih sebuah kampung sebagai Kampung Angkat MADANI.
"Bagi merealisasikan inisiatif murni ini, Kerajaan telah memperuntukkan RM107 juta bagi melaksanakan projek Kampung Angkat MADANI di 43 kampung terpilih di seluruh negara," katanya.
Katanya, setiap kementerian dan agensi yang terlibat, termasuk KPDN, menerima peruntukan RM2.5 juta bagi melaksanakan projek pembangunan di kampung angkat masing-masing.
Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, Mukim Kaiduan, Papar telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI bagi KPDN.
"Pemilihan ini berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan, antaranya tahap liputan kemudahan asas yang masih berada di bawah 50 peratus," katanya.
Katanya, program Kampung Angkat MADANI KPDN telah dilancarkan secara rasmi pada 24 Mei 2024.
Katanya, sejak dilancarkan, Program Kampung Angkat MADANI KPDN ini telah menyaksikan komitmen dan kerjasama semua pihak dalam menggerakkan projek-projek yang telah dikenal pasti berdasarkan aspirasi penduduk setempat.
Armizan berkata, sebanyak 16 projek pembangunan fizikal yang disenaraikan telah siap sepenuhnya dan kini telah mula dimanfaatkan oleh penduduk.
Katanya, antara projek utama termasuk membaik pulih jalan culvert, membina jambatan baharu, dan naik taraf jalan Kampung Kaiduan, pembinaan jambatan baharu Low Level Crossing (LLC) di Kampung Ulu Kaiduan, naik taraf jalan di Kampung Bisuang, pembinaan jambatan gantung baharu ke SK Kaiduan, pembinaan surau baharu dan dewan serbaguna di SK Kaiduan, naik taraf gereja, balai raya dan pembinaan gelanggang sepak takraw baharu Kampung Bolotikon, membaik pulih jambatan gantung, membina laluan pejalan kaki berbukit, dan menabur batu kasaran (crusher run) di jalan utama Kampung Moliyoun, pemasangan lampu solar di Kampung Kaiduan, Kampung Bisuang dan Kampung Bolotikon.
Armizan berkata, projek-projek yang telah siap disasarkan dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat melalui akses perhubungan dan pengangkutan yang selamat, keselesaan rumah ibadat untuk aktiviti keagamaan dan merancakkan aktiviti sosioekonomi masyarakat setempat.
Katanya, kejayaan program ini adalah hasil sinergi di antara KPDN, Kementerian Kewangan Malaysia, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO), dan Pejabat Daerah Papar sebagai agensi pelaksana.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemimpin setempat dan seluruh warga Mukim Kaiduan atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang proses pelaksanaan projek ini.
"KPDN berharap agar semua kemudahan yang telah disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh penduduk Mukim Kaiduan," katanya.
Kementerian turut menyeru agar usaha penyelenggaraan dan penambahbaikan berterusan dilakukan bagi memastikan inisiatif ini menjadi citra pembangunan lestari yang berkekalan.
Comments