top of page
Wartawan Nabalu News

160 peserta jayakan program sosio-ekonomi ESSCOM Siri 1/ 2023 daerah Lahad Datu, Kunak


10 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


LAHAD DATU, 10 MAC 2023 – Sebanyak 160 peserta daripada masyarakat yang tinggal di Daerah Lahad Datu dan Kunak telah menjayakan Program Sosio-Ekonomi ESSCOM Siri 1/ 2023.


Kursus Kemahiran Asas Jangka Pendek dalam enam jenis telah ditawarkan kepada semua peserta, dengan tiga kursus iaitu Baik Pulih Telefon Bimbit; Pembuatan Makanan Berasaskan Hasil Laut; dan Pemprosesan Hasilan Soya Kursus diadakan di Daerah Lahad Datu dan kursus Asas Jahitan Pakaian Wanita (Baju Kurung & Jubah) diadakan di Daerah Kunak.


Sementara itu, dua lagi kursus iaitu Menggunting Rambut Lelaki & Wanita dan Kek, Bun & Pastri turut diadakan di kedua-dua daerah tersebut.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Dr. Jamaluddin Mohd Ali menyatakan bahawa program tersebut bertujuan membantu peserta memperkasakan taraf sosio-ekonomi dan kesejahteraan mereka selaras dengan jaminan keselamatan yang diwujudkan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).


Kursus yang dilaksanakan secara serentak selama tiga hari iaitu pada 6 hingga 9 Mac, menawarkan kemahiran dalam bidang tersebut yang dapat ditingkatkan dan secara langsung membolehkan para peserta menjana pendapatan seterusnya memperbaiki kehidupan mereka.


Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah dengan kerjasama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).


Turut diadakan taklimat berkenaan ESSCOM dan insurans i-Suri, serta pameran dari Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Amanah Ikthiar, Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) semasa majlis penutupan program yang berlangsung di Dewan Perdana, Lahad Datu.


Majlis penutupan turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Tajaan Latihan Kemahiran JPSM, Salbia Abas, pegawai mewakili Lahad Datu dan Kunak dari Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kebajikan Am, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta pegawai-pegawai kanan ESSCOM.


Diharapkan dengan adanya program ini, masyarakat setempat dapat meningkatkan taraf hidup mereka dan berjaya dalam bidang pekerjaan serta menjana pendapatan yang lebih baik di masa hadapan.


Comments


bottom of page