Tiga Lelaki Ditahan, 51.65 Gram Syabu Dirampas di Tungku
- nabalunews
- Apr 15
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
15 April 2026
LAHAD DATU: Polis menahan tiga lelaki tempatan dan merampas 51.65 gram dadah jenis syabu dalam serbuan Op Tapis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ulang-Ulang, Tungku, malam kelmarin.
Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Dzulbahrin Ismail berkata, serbuan kira-kira jam 9.15 malam itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Menurut beliau, pemeriksaan di rumah tersebut menemukan dadah syabu yang disembunyikan dalam sebuah beg kecil berwarna hitam. Polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penagihan dan pengedaran dadah.
"Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus komited membenteras kegiatan dadah demi kesejahteraan masyarakat.















Comments