Harga diesel di Sabah, Sarawak, Labuan dikekalkan untuk sokong keperluan rakyat - MOF
- nabalunews
- 4 days ago
- 1 min read

15 April 2026
KOTA KINABALU: Harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter kerana bahan api itu merupakan nadi kehidupan rakyat wilayah berkenaan menjalankan aktiviti harian.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), keluasan geografi yang 60 peratus lebih besar daripada Semenanjung Malaysia, serta bentuk muka bumi yang mencabar menjadikan penduduk di tiga wilayah itu lebih bergantung kepada penggunaan diesel.
“Kawasan pedalaman yang luas dengan bentuk muka mencabar menghadkan akses jalan raya, dan kebanyakan penduduk bergantung kepada pengangkutan air dan kenderaan berat seperti pacuan empat roda.
“Selain itu, liputan elektrik dan infrastruktur yang tidak menyeluruh di sesetengah kawasan luar bandar menjadikan diesel sebagai sumber tenaga utama untuk kehidupan harian,” kata kementerian itu menerusi hantaran di Facebook hari ini.
MOF menjelaskan, kebergantungan tinggi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan disebabkan bahan api itu digunakan secara meluas untuk penjanaan elektrik dan aktiviti ekonomi seperti pengangkutan dan perikanan.
Sehubungan itu, menurut MOF, penggunaan diesel sekitar 2 bilion diesel dengan harga dikekalkan pada RM2.15 seliter bagi menyokong keperluan rakyat di tiga wilayah tersebut.
“Pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar memberi penekanan kepada keperluan pengguna dan prinsip kesamaratan bagi memastikan keberkesanan agihan kepada rakyat Malaysia,” katanya.















Comments