17 anjakan utama, 71 inisiatif utama KSP RMK12 diperkenal
top of page
  • Wartawan Nabalu News

17 anjakan utama, 71 inisiatif utama KSP RMK12 diperkenal


11 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan 17 anjakan dan 71 inisiatif utama yang akan dilaksanakan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) yang bertemakan "Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi".


Beliau berkata tiga tumpuan utama KSP RMK12 adalah memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.


"KSP RMK12 ini akan terus memperkukuh agenda pembangunan negara dan rakyat ke arah mencapai matlamat Ekonomi MADANI," katanya ketika membentangkan usul KSP RMK12 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.


Beliau juga berkata bahawa pembentangan ini akan dicerakin melalui 12 penegasan yang menjadi inti pati KSP RMK12 dan distrukturkan mengikut tiga tumpuan utama.


Menurut beliau, kerajaan telah menyasarkan lonjakan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 5.0 peratus setahun dalam tempoh RMK12 dengan memberi tumpuan kepada dua perkara teras iaitu memperkukuh produktiviti dengan menyegerakan peralihan kepada industri bernilai tinggi dan menerima guna teknologi termaju serta mempertingkat bakat berkemahiran.


Selain itu, Anwar juga berkongsi hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama kalangan pelabur dengan memperkukuh daya saing.


"Langkah utama adalah meningkatkan persekitaran perniagaan menerusi penambahbaikan peraturan perniagaan termasuk melalui unit MyMudah. Ini secara langsung akan merancakkan pelaburan langsung domestik (DDI) yang secara bersinergi akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI). Pelaburan swasta disasarkan berkembang sebanyak 6.4 peratus setahun atau purata RM300 bilion setahun dalam tempoh akhir RMK12," katanya.


Beliau turut menyenaraikan lima bidang industri yang akan dipacu untuk mempercepat reformasi struktur ekonomi, iaitu industri berasaskan peralihan tenaga, industri berasaskan teknologi dan digital, industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi, industri pertanian dan asas tani serta industri nadir bumi.


Jelas Anwar, kerajaan telah merangka beberapa dasar baru untuk memastikan kemampanan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan sumber-sumber tersebut.


Antaranya ialah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang telah mengenal pasti sebanyak 10 projek perdana yang strategik dan berimpak tinggi dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta pengurangan 10,000 gigagram karbon dioksida setara setahun.


Selain itu, Dasar Mineral Negara baharu akan turut dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawapan," katanya.


Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan akan melarang eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelak eksploitasi dan kehilangan sumber selain menjamin pulangan maksimum untuk Malaysia.


Atas alasan itu, beliau berkata kerajaan akan turut membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelak eksploitasi dan kehilangan sumber selain menjamin pulangan maksimum untuk Malaysia.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page