Kerajaan terus usaha bantu rakyat imbangi kesan kenaikan harga barang - PM

26 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus berusaha mencari penyelesaian terhadap isu kos sara hidup dengan membantu rakyat mengimbangi kesan kenaikan harga barang, seiring petunjuk positif terhadap prestasi ekonomi negara ketika ini.
Perdana Menteri berkata, biarpun angka pertumbuhan ekonomi negara dicatat positif untuk suku kedua tahun ini, selain kadar inflasi dan pengangguran yang masih rendah, ia bukan menunjukkan isu yang sedang dihadapi rakyat sudah selesai.
"Apakah saya puas hati (prestasi pertumbuhan, kadar inflasi dan pengangguran yang masih rendah)? saya tak puas hati kerana kita masih hadapi masalah kos sara hidup.
"Harga barang yang menekan kehidupan. Sebab itu saya umumkan beberapa langkah untuk bantu rakyat secara langsung. Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan diterima oleh sembilan juta orang, yang jumlahnya RM10 bilion, bukan kecil.
"Bulan Oktober, saya umumkan sistem saraan baru perkhidmatan awam dengan menaikkan gaji penjawat awam. Ia adalah kenaikan paling tinggi dalam sejarah," katanya berucap pada Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan timbalannya, Datuk R Ramanan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Selain STR, kerajaan menerusi Belanjawan 2024 diumum Oktober tahun lalu memutuskan untuk meluaskan manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SAR) kepada 700,000 penerima STR, yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan bantuan bersasar sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun kepada individu B40 dan M40 yang memiliki kenderaan diesel supaya tidak dibebani dengan kenaikan harga runcitnya ketika ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah Ekonomi Madani, antara ditekankan juga adalah soal jiwa merdeka, di mana kekayaan negara mesti diagih secara adil kepada semua rakyat.
Situasi itu kata beliau penting, bagi mengelak kritikan terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS), yang menyaksikan kesenjangan semakin melebar antara kekayaan dimiliki golongan elit dengan rakyat kebanyakan, turut berlaku di Malaysia.
"Sementara kita memacu pertumbuhan segar dengan kelajuan dan kepesatannya, dengan mengambil kira semua teknologi baru, kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan peralihan tenaga, kita tak boleh abaikan prinsip utama yang kita sebut jiwa merdeka.
"Tema Hari Kemerdekaan tahun ini, kita tekankan jiwa merdeka. Jiwa merdeka maknanya rakyat yang sedar untuk menuntut hak, kebebasan mereka dan (untuk menikmati) keselesaan hidup mereka," katanya.















Comments