180 PATI Filipina dihantar pulang ke negara asal
- nabalunews
- Dec 14, 2024
- 2 min read

14 Disember 2024
KOTA KINABALU: 180 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menggunakan pengangkutan laut feri MV Ming Hai Express ke Pelabuhan Bongao, Filipina melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, PATI terbabit sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Sandakan dan membabitkan 84 lelaki, 61 wanita dan 35 kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berusia satu tahun sehingga 65 tahun.
Katanya, kanak-kanak yang terbabit dengan program berkenaan akan balik ke negara asal bersama ibu bapa atau penjaga yang sah.
"Semua tahanan telah balik ke negara asal atas program pembiayaan sendiri.
“Kadar pembayaran tiket feri yang dikenakan ke atas tahanan asing yang balik adalah termasuk caj kemudahan pengangkutan bas mulai dari lokasi Sandakan ke Lahad Datu iaitu bernilai RM375 untuk penumpang dewasa, RM210 kanak-kanak berusia lima ke 13 tahun dan percuma bagi kanak-kanak empat tahun dan ke bawah.
“Semua PATI yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.
SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Katanya, sehingga kini seramai 5,683 tahanan warga Filipina sudah dihantar balik dan menjadikan jumlah keseluruhan PATI dihantar pulang mencecah 8,337 orang.
“Semua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.
SH Sitti Saleha berkata, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan jalinan hubungan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan asing di Malaysia.
“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi semua tahanan yang ditempatkan di depot-depot imigresen di Sabah.
“JIM Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.
Comentarios