19 BARANGAN DI SABAH DISENARAI SHMMP SEMPENA PERAYAAN DEEPAVALI
- Wartawan Nabalu News
- Nov 9, 2020
- 1 min read

9 Nov 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sebanyak 19 barangan terpilih di negeri ini disenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali Sabtu ini.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata, penambahan dua barangan baharu itu ialah timun dan kacang panjang berbanding 17 item pada tahun 2019.
Beliau berkata, barangan harga terkawal itu ialah Ayam Hidup, Ayam Standard, Ayam Super, Daging Kambing, Telur Ayam Gred A,B dan C, Tomato, Kubis Bulat Import, Kelapa Biji, Kelapa Parut, Bendi, Kacang Panjang, Timun, Cili Kering, Bawang Merah Kecil, Bawang Merah Besar, Ubi Kentang Import (China) dan Kacang Dal (Australia).
"Sepanjang tempoh SHMMP Deepavali ini, kerajaan mewajibkan semua peniaga menjual barangan harga terkawal tersebut tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan,.
“Selain itu para peniaga juga wajib meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain serta mempamerkan tanda harga ke atas semua barangan yang dijual,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Georgie berkata, bagi individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama, boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 00. (Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan – Penentuan Harga Maksimum 2020).
“Bagi individu yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal yang dijual boleh didenda sehingga RM10,000.00 atau kompaun sehingga RM5,000.
Manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 di bawah Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan – Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal 2020,” katanya.
Comments