19 Pengunjung Pusat Hiburan Positif Dadah Ditahan
- nabalunews
- Feb 17
- 1 min read

17 Februari 2026
KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berjaya menahan 19 pengunjung pusat hiburan selepas didapati positif dadah.
Semua individu terbabit ditahan hasil operasi JSJN menggempur beberapa pusat hiburan sekitar bandar raya ini dalam operasi bersepadu selama dua minggu dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan premis hiburan tidak dijadikan lokasi aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Menurutnya, pemeriksaan menyeluruh dijalankan ke atas pengunjung serta pekerja premis, termasuk ujian saringan air kencing bagi mengesan sebarang penglibatan dengan bahan terlarang.
“Hasil operasi, seramai 19 individu ditahan membabitkan 11 lelaki dan lapan wanita selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Antara dadah yang dikesan termasuk ketamin, syabu dan cecair disyaki dadah jenis ‘jus’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis atau individu yang cuba menjadikan pusat hiburan sebagai lokasi penyalahgunaan atau pengedaran dadah.
"Dadah adalah musuh nombor satu negara. Tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian dan operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Keselamatan masyarakat menjadi keutamaan dan JSJN Sabah akan terus memperhebat operasi bagi memastikan Kota Kinabalu bebas daripada ancaman dadah,” katanya.















Comments