2,500 peserta, 62 kontinjen sertai Istiadat Perbarisan Ulang Tahun ke-75 TYT
- nabalunews
- 28 minutes ago
- 1 min read

26 Mac 2026
KOTA KINABALU: Seramai 2,500 peserta akan mengambil bahagian dalam Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, yang dijadual berlangsung pada 30 Mac ini.
Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Shamshor Jaafar berkata, sebanyak 62 kontinjen daripada pasukan keselamatan serta agensi kerajaan turut akan menyertai istiadat berkenaan.
“Orang ramai disaran hadir lebih awal bagi menyaksikan perbarisan tersebut memandangkan peserta dijangka mula berkumpul seawal 6.30 pagi.

“Ia merupakan detik bersejarah dan orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan acara serta menyaksikan keunikan istiadat perbarisan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas taklimat perbarisan kepada Tun Musa Aman, di sini hari ini.
Menurutnya, raptai penuh akan diadakan esok dan bagi memastikan kelancaran program, beberapa jalan akan ditutup sementara sepanjang acara berlangsung.
Laluan yang terlibat ialah Lorong Dewan dan Jalan Padang, iaitu dari gerbang Jalan Istana hingga ke hadapan King Park Hotel.











