top of page
nabalunews

Dua suspek pengedar dadah ditangkap, 1.8 kg Syabu bernilai RM115, 860 dirampas



14 Oktober 2024


TAWAU: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia dan merampas 1.8 kilogram (kg) dadah jenis Syabu bernilai RM115, 860 di Terminal Feri Tawau, Jumaat lalu.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek berumur 39 tahun itu, masing-masing ditangkap pada jam 9.45 pagi dan 10.10 pagi oleh pasukan dari Cawangan Khas dan polis bantuan Usahawan Borneo Group.


Katanya, polis menemui lima bungkusan dadah seberat 1,541.43 gram di bahagian hadapan dan punggung seluar dalam wanita yang diubahsuai dan dilapisi bengkung yang dipakai oleh suspek pertama.


Manakala, enam lagi bungkusan dadah seberat 269.61 gram ditemui di dalam seluar dalam bahagian hadapan dan di dalam tapak kasut yang dipakai oleh suspek kedua.


"Hasil soal siasat awam mendapati kedua-dua suspek sudah melepasi Balai Berlepas dan berada di ruang menunggu jeti Terminal Feri Tawau sebelum menaiki feri ke Indonesia.


"Suspek pertama ditahan ketika cuba melepasi tempat pemeriksaan untuk menaiki feri ke Indonesia, manakala, suspek kedua ditahan di ruang menunggu jeti terminal itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.


Mengulas lanjut, Jasmin berkata, suspek pertama ditahan untuk pemeriksaan selepas kelihatan mencurigakan dan membawa kepada penahanan suspek kedua selepas dimaklumkan ada rakan sejenayahnya.


Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek datang ke Tawau pada 2 Oktober lalu untuk mendapatkan bekalan dadah.


Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.


"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Comments


bottom of page