20 graduan program kemahiran terima tawaran pekerjaan di Johor

23 Oktober 2026
KOTA KINABALU: Seramai 20 graduan Program Certificate in Precision Micro-Soldering & Electronics Technopreneurship menerima tawaran pekerjaan daripada GN Resound Malaysia di Johor selepas menamatkan latihan kemahiran dalam bidang elektronik dan pematerian mikro berketepatan tinggi.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, tawaran itu merupakan hasil kerjasama strategik antara GN Resound Malaysia dan Gain Forlife dalam menyediakan latihan kemahiran serta membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah.
Katanya, kerjasama kedua-dua syarikat berkenaan setakat ini telah melahirkan hampir 400 graduan menerusi 27 kumpulan latihan yang kemudiannya mendapat tawaran pekerjaan di Johor.

“Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa kerjasama strategik dengan pihak industri mampu menyediakan laluan kerjaya yang lebih jelas kepada anak-anak Sabah, khususnya mereka yang memerlukan peluang meningkatkan taraf hidup.
“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada GN Resound Malaysia yang diwakili Dr Sebastian Tin serta Gain Forlife yang diwakili Pengarah Urusannya, Nelson Mosinoh, atas komitmen melaksanakan program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pekerjaan kepada 20 graduan program berkenaan, di sini, semalam.

Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah akan terus menyokong usaha memperluas program latihan Gain Forlife bagi membolehkan lebih ramai anak tempatan memperoleh kemahiran dan pekerjaan.
Menurutnya, bermula tahun hadapan, kementerian itu juga akan bekerjasama dengan Gain Forlife untuk memperkenalkan elemen keusahawanan dalam program latihan berkenaan.
“Kita mahu graduan bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal yang diperlukan industri, tetapi turut mempunyai pengetahuan asas keusahawanan.
“Dengan pendedahan itu, mereka berpotensi membina perniagaan sendiri pada masa hadapan dan menjadi penyedia peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan Wawasan Sabah First yang diperkenalkannya melalui MINDET, dengan matlamat melahirkan lebih ramai rakyat Sabah yang mempunyai pendapatan dan mampu berdikari dari segi ekonomi.
Katanya, wawasan berkenaan memberi tumpuan kepada dua pendekatan utama, iaitu memperkasa rakyat sebagai pemilik perniagaan atau usahawan serta membantu mereka mendapatkan pekerjaan dalam sektor industri dan perniagaan.
“Matlamat kita adalah memastikan lebih ramai rakyat Sabah mempunyai sumber pendapatan yang stabil, sama ada melalui perniagaan sendiri atau bekerja dengan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan.
“Penyerahan surat pelantikan kepada 20 graduan ini merupakan contoh bagaimana pendekatan tersebut dapat diterjemahkan melalui kerjasama dengan pihak industri,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon berkata, usaha memperluas peluang ekonomi rakyat menjadi antara keutamaannya sejak diberikan tanggungjawab menerajui MINDET pada Disember tahun lalu, terutama dalam menangani isu kemiskinan dan pengangguran di Sabah.
Mengulas cabaran pasaran pekerjaan, Ewon berkata, kerajaan negeri menyedari kadar pengangguran di Sabah masih memerlukan perhatian berterusan.
Sehubungan itu, katanya, usaha menarik pelaburan, membangunkan sektor perindustrian dan memperluas aktiviti keusahawanan perlu diperkukuh bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau turut berpesan kepada graduan supaya sentiasa mengutamakan hubungan kekeluargaan, khususnya apabila bekerja jauh dari kampung halaman.
“Kejayaan dalam kerjaya bukan sekadar diukur melalui pendapatan, tetapi juga bagaimana kita menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
“Walau sesibuk mana sekalipun, jangan abaikan ibu bapa. Sentiasalah berhubung dan berikan perhatian kepada mereka,” katanya.
Beliau berharap tawaran pekerjaan yang diterima 20 graduan itu menjadi titik permulaan kepada pembinaan kerjaya yang lebih baik, selain membuka ruang untuk mereka meningkatkan kemahiran dan berpotensi menceburi bidang keusahawanan pada masa hadapan.
“Semoga mereka terus maju sebagai tenaga kerja berkualiti, bertanggungjawab kepada keluarga dan mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah.
“Inilah aspirasi Sabah First, iaitu melahirkan lebih ramai anak Sabah yang berkemahiran, mempunyai pekerjaan, menjana pendapatan dan masa depan yang lebih baik,” katanya.















Comments