- Wartawan Nabalu News
20 KOMPAUN DIKELUARKAN ATAS KESALAHAN LANGGAR SOP COVID-19

22 Mei 2021
Oleh Wrtawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sebanyak 20 kompaun dikeluarkan di seluruh Sabah hari ini atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, antara kesalahan itu ialah tidak memakai pelitup muka, gagal merekodkan butiran pelanggan, rentas negeri/ daerah tanpa kebenaran, tiada penjarakan sosial dan aktiviti terlarang.
“Sebanyak 20 kompaun dikeluarkan di seluruh Sabah atas kesalahan melanggar SOP Covid-19.
“Daripada jumlah itu lapan orang tidak memakai pelitup muka atau tidak memakai pelitup separuh muka dengan betul, enam orang tiada penjarakan sosial, empat orang (aktiviti terlarang) dan masing-masing satu kesalahan kerana gagal menyediakan atau merekodkan butiran pelanggan serta rentas negeri/ daerah tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, larangan rentas daerah di negeri ini yang berkuatkuasa 24 Mei hingga 7 Jun ini adalah bertujuan memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19.
"Ini kerana kes baharu Covid di negeri ini masih berada di tahap tiga digit sehingga hari ini yang merekodkan 189 kes dengan tiga kluster baharu.
“Masyarakat diminta untuk terus berkerjasama dan membantu bagi mengekang pandemik Covid-19 dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.