top of page
  • Wartawan Nabalu News

20 orang dilantik sebagai Ahli-ahli Majlis Daerah Penampang


Gambar kenangan, Dr. Joachim (duduk, tengah) dan Ewon (empat dari kiri) bersama dengan Ahli Majlis Daerah Penampang.

14 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 20 orang telah dilantik sebagai Ahli-ahli Majlis Daerah Penampang Sesi 2023-2025 dalam satu majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam di Hotel Hyatt Centric, di sini, hari ini.


Dr. Joachim dalam ucapan beliau menggesa Ahli-ahli Majlis Daerah Penampang untuk bersatu dan bekerjasama dengan pengurusan Majlis Daerah dalam menangani cabaran-cabaran dan tuntutan sosial yang semakin meningkat.


Beliau berkata, ini kerana masyarakat kini lebih peka dan maklum akan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta hak mereka untuk mendapat kemudahan dan perkhidmatan yang berkualiti.


Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya kerjasama pihak Majlis Daerah dengan jabatan-jabatan serta agensi-agensi lain dalam melaksanakan tugas-tugas dan fungsi-fungsi Majlis Daerah dengan lebih berkesan.


“Semoga dengan kolaborasi ini, dapat meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat dan mendatangkan hasil berimpak tinggi yang bukan sahaja memberi impak terhadap prestasi Majlis Daerah tetapi juga kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi yang terlibat,” katanya.


Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Malaysia Merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick; Ahli-ahli Dewan Negara Malaysia, Senator Datuk John Ambrose dan Senator Datuk Noraini Idris; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Jamili Nais, Pengerusi Majlis Daerah merangkap Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Penampang, Robert Malangking; Datuk Donald Mojuntin; Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai serta Kakitangan Majlis Daerah Penampang.


Pada masa yang sama, beliau juga menyeru agar Ahli-ahli Majlis menjalankan tugas dengan berpengetahuan dari segi dasar serta peruntukan undang-undang kecil yang dikuatkuasakan oleh Majlis Daerah.


"Ahli-ahli Majlis adalah penggubal dasar serta pembuat keputusan di Majlis Daerah. Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan hendaklah berpengetahuan dari segi dasar serta peruntukan undang-undang Majlis Daerah.


“Dengan pengetahuan serta penguasaan yang baik terhadap peranan dan dasar-dasar serta perundangan majlis, saya percaya Ahli-ahli Majlis yang dilantik boleh bertindak sebagai perantaraan diantara pihak Majlis Daerah dengan masyarakat umum dalam menyemai kesedaran kepada masyarakat tempatan bahawa sebagai penduduk di kawasan tersebut, mereka juga mempunyai tanggungjawab dan kewajipan kepada PBT,” katanya.


Dr. Joachim mengucapkan tahniah kepada 20 orang Ahli-ahli Majlis Daerah Penampang yang dilantik dan berharap mereka dapat menjalankan fungsi dan peranan yang aktif dalam mempertingkatkan imej dan kewibawaan Majlis Daerah Penampang melalui penyertaan dan kerjasama rapat dengan semua pihak.


“Pelantikan ini merupakan satu platform di mana Ahli Majlis akan dapat menyumbang tenaga, idea dan buah fikiran dalam pembangunan dan kemajuan daerah Penampang. Pelantikan ini juga adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat dan penting. Ia bukanlah sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan ataupun saudara-mara. Keperluan dan kepentingan awam hendaklah diberi keutamaan,” katanya.


Comments


bottom of page