20 Puspanita Penampang adakan lawatan sambil belajar

21 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Seramai 20 ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita (PUSPANITA) Penampang mengadakan lawatan sambil belajar di beberapa premis usahawan dan koperasi berjaya sekitar Selangor yang mendapat pembiayaan daripada agensi-agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Rombongan itu diketuai oleh Pengerusinya Immelda Immit dan disertai oleh Penaung Puspanita Cawangan Kuskop Datin Connie Parantis dan Penasihat Puspanita Penampang, Francis Chong yang juga Pegawai Daerah Penampang.
Mereka memulakan lawatan di Perak dengan menghadiri perasmian Pusat Pelancongan Eko Jerawok di Kampung Sungai Jerawok, Perak yang diusahakan oleh usahawan wanita masyarakat orang asli dan kemudiannya bersama-sama dalam sambutan Hari Orang Asal di Kampung Orang Asli, Rasau.

Kedua-dua program itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Rombongan Puspanita meneruskan lawatan ke beberapa premis usahawan dan koperasi berjaya sekitar Selangor iaitu usahawan berjaya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) iaitu Nasi Lemak Saleha Ampang), usahawan berjaya Tekun Nasional (MyMum’s Bakery) dan Koperasi Dagang Seni Malaysia.

Agensi di bawah Kuskop iaitu AIM, Tekun Nasional dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut memberikan taklimat kepada rombongan itu.
Pada sebelah malam, Ewon menghoskan jamuan makan malam untuk rombongan itu.

Comments