top of page

208 PTI ditahan dalam operasi tiga hari JIM Sabah

  • nabalunews
  • 24 hours ago
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


KOTA KINABALU, 8 Julai – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 208 pendatang asing tanpa izin (PTI) dalam operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan serentak di seluruh negeri selama tiga hari, bermula 30 Jun hingga 2 Julai lalu.


Dalam operasi itu, seramai 1,187 individu diperiksa menerusi 26 siri serbuan di beberapa lokasi strategik di seluruh Sabah, dengan 208 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.



Warga Filipina merekodkan jumlah tangkapan tertinggi, iaitu 164 individu terdiri daripada 53 lelaki dewasa, 72 wanita dewasa, 21 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan.


Turut ditahan ialah 30 warga Indonesia membabitkan 15 lelaki dan 15 wanita, selain lima lelaki warga Pakistan, enam lelaki warga China dan tiga lelaki warga India atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.



Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara berterusan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.


Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.


Katanya, JIM Sabah turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran atau kegiatan PTI melalui saluran rasmi jabatan.


“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan undang-undang negara terus terpelihara,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page