21 laluan penerbangan baharu diperkenal sempena TMM 2026
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

27 Disember 2025
KOTA KINABALU: Malaysia bakal memperkenalkan 21 laluan penerbangan antarabangsa baharu bermula bulan ini hingga pertengahan Januari tahun depan sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, laluan baharu berkenaan merangkumi 16 penerbangan berjadual dan lima penerbangan sewaan.
Katanya, kesemua laluan itu dikendalikan oleh 10 syarikat penerbangan yang menghubungkan Malaysia dengan destinasi di rantau ASEAN, Asia Timur, Uzbekistan dan Sri Lanka.
“Daripada 16 laluan berjadual itu, 13 akan bermula bulan ini, manakala selebihnya pada Januari. Laluan-laluan ini akan menambah 81 penerbangan terus ke Malaysia, dengan kapasiti maksimum 13,936 penumpang setiap minggu.
“Bagi lima penerbangan sewaan pula, empat akan bermula pada Disember, manakala satu lagi pada Januari,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiong berkata, perkhidmatan penerbangan baharu itu melibatkan lapan negara dan 17 destinasi, menghubungkan sembilan lapangan terbang utama di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Tawau, Kuching, Ipoh dan Langkawi.
Menurutnya, rantau Asia Timur menjadi tumpuan utama pengembangan laluan dengan tujuh penerbangan berjadual dan tiga penerbangan sewaan menghubungkan Malaysia dengan lapan bandar di China.
“Selain itu, penerbangan berjadual baharu turut dibuka ke Osaka, Jepun dan Busan, Korea Selatan, manakala Taichung di Taiwan akan menerima penerbangan sewaan.
“Dalam rantau ASEAN, enam penerbangan berjadual baharu akan menghubungkan Malaysia dengan Singapura, Jakarta dan Medan di Indonesia, serta Cebu di Filipina,” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut beliau, Tashkent, Uzbekistan dan Colombo, Sri Lanka masing-masing akan menerima satu penerbangan berjadual.
Tiong berkata, kebanyakan laluan baharu itu akan dikendalikan syarikat penerbangan tempatan, dengan Batik Air mengoperasikan lapan penerbangan berjadual dan satu penerbangan sewaan.
AirAsia pula, katanya akan melancarkan satu penerbangan berjadual dan satu penerbangan sewaan, selain satu penerbangan berjadual oleh Firefly.
“Syarikat penerbangan asing yang akan memperluas operasi ke Malaysia termasuk enam syarikat dari China iaitu Loong Air, Shandong Airlines, Xiamen Airlines, Hainan Airlines, Sichuan Airlines dan Juneyao Air, yang akan mengendalikan lima penerbangan berjadual dan tiga penerbangan sewaan.
“Manakala baki penerbangan baharu pula akan ditawarkan oleh T’way Air dari Korea Selatan,” ujarnya.


















Comments