top of page
  • nabalunews

214 usahawan belia Sabah sertai TUBE-X 2024, terima geran usahawan sehingga RM15,000 seorang

12 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Seramai 214 usahawan belia Bumiputera Sabah berjaya dilatih tahun ini melalui bantuan geran berjumlah RM3 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).


Program yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini bertujuan menggalakkan belia Bumiputera berumur antara 18 hingga 30 tahun menceburi bidang perniagaan.


Majlis Penutupan Program TUBE-X Zon Sabah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, di International Technology & Commercial Centre (ITCC), Penampang, di sini, hari ini.


Program berbentuk latihan asas keusahawanan yang telah dijenamakan sebagai TUBE-X bersempena dengan tahun ke-10 penganjurannya ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) selama tujuh hari bermula pada 6 Mei lalu.

Program ini juga dilaksanakan di empat zon lain iaitu Zon Utara, Pantai Timur, Tengah/Selatan dan Sarawak, menyediakan Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM15,000 kepada setiap peserta yang berjaya menamatkan latihan.


Ketiks berucap pada majlis itu, Ewon berkata, pada tahu ini selepas tiga tahun pelaksanaan Program TUBE secara dalam talian (online) akibat pandemik COVID-19, program ini kembali diadakan secara bersemuka agar tempoh pengajaran dan latihan keusahawanan dapat dimaksimakan dan secara tidak langsung mewujudkan jaringan sesama peserta.


“Sehingga Disember 2023, seramai 7,738 peserta TUBE mengambil bahagian dan peserta dari Sabah merupakan yang tertinggi menyertai program TUBE iaitu seramai 1,444 (18.66%).

“Peserta Alumni TUBE Sabah juga berjaya mewujudkan sebanyak 2,039 peluang pekerjaan di Sabah dengan nilai jualan perniagaan terkumpul sebanyak RM20.65 juta,” katanya.


Ewon berkata, Program TUBE-X menawarkan latihan keusahawanan menyeluruh dan para peserta turut diberi bantuan geran permulaan perniagaan sehingga RM15,000.


Selain itu katanya, program ini turut membantu peserta untuk membuat perancangan perniagaan berdasarkan minat dan peluang persekitaran, memupuk dan menanam semangat keusahawanan dalam kalangan belia Bumiputera dan memupuk daya tahan dan jati diri di kalangan belia Bumiputera.


Katanya lagi, sebagai kesinambungan kepada usahawan yang baru bermula, SME Corporation Malaysia turut menyediakan geran di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) sehingga RM500,000 bagi meningkatkan lagi produktiviti dan keupayaan perniagaan yang telah diusahakan.

“Sehingga 30 April lalu, sebanyak 868 permohonan diluluskan berjumlah RM105.11 juta sejak dilaksanakan mulai tahun 2021.


“Daripada jumlah itu, 32 PMKS dari Sabah telah diluluskan geran sebanyak RM5.30 juta. Selain itu, sebanyak 74 usahawan Mikro Sabah mendapat kelulusan geran sebanyak RM5.87 juta di bawah Program Mikro Madani,“ katanya.

 

Ewon berkata, peserta usahawan belia Bumiputera juga boleh menambah Modal Kerja perniagaan melalui pembiayaan mudah (soft loan) secara digital menerusi Program Tunas-i yang dikendalikan oleh SME Corp dengan kerjasama Funding Societies (Modalku Venture Sdn Bhd).


Sementara itu, Pengerusi SME Corp. Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok berharap, hasil pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada Program TUBE-X  dapat membantu usahawan belia Bumiputera meningkatkan daya kreativiti, ketahanan dan seterusnya melakukan inovasi dalam perniagaan masing-masing.

“Daya kreativiti dan inovasi adalah penting dalam memastikan kejayaan seorang usahawan,” katanya.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan PMKS di Malaysia, tumpuan akan turut diberikan dalam membangunkan usahawan belia Bumiputera sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI yang lebih saksama dan inklusif.


“Kami komited dalam memantau perkembangan setiap peserta TUBE-X yang tamat latihan dan memulakan perniagaan yang merupakan antara komponen utama dalam membimbing usahawan ke tahap yang lebih baik,” katanya.


Majlis Rasmi Penutupan Program TUBE-X 2024 dijadualkan bersempena penutupan Zon Tengah/Selatan pada 11 Jun 2024 di Kuala Lumpur.


Secara keseluruhan, jumlah peserta belia Bumiputera yang berjaya dilatih di seluruh negara pada tahun 2024 adalah seramai 800 orang.


Hadir sama, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh dan Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.


Comments


bottom of page