Dua Ketua Cawangan Baharu UPKO Kiau Dilantik, Satu Dikekalkan
- nabalunews
- Apr 5
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
5 April 2026
KOTA BELUD: Mesyuarat Agung Tri-Tahunan (MAT) tiga cawangan UPKO di kawasan Kiau, Kota Belud semalam menyaksikan keputusan majoriti mengekalkan seorang ketua cawangan sedia ada dan melantik dua ketua baharu.
Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Tamu Desa Kampung Kiau itu melibatkan Cawangan Kiau Taburi, Kiau Nuluh, dan Kiau Bersatu.
Rayner Yukun kekal sebagai Ketua Cawangan Kiau Nuluh, manakala William Ginting dilantik sebagai Ketua Cawangan baharu bagi Kiau Bersatu, dan Liam Sumbin sebagai Ketua Cawangan baharu bagi Kiau Taburi.

Setiausaha Bahagian UPKO Kota Belud, Anichlose Kesimin yang hadir mewakili Pejabat Bahagian dan selaku Ahli Jawatankuasa Pemilihan, menerima keputusan MAT ketiga-tiga cawangan tersebut.
Menurut Anichlose, keseluruhan mesyuarat berjalan lancar dan keputusan pemilihan dibuat secara undian majoriti.
MAT bagi setiap 120 cawangan UPKO Kota Belud dijadualkan selesai sepenuhnya dalam bulan April ini, seterusnya membuka laluan kepada MAT UPKO Bahagian Kota Belud yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan.
Ketua Bahagian UPKO Kota Belud kini disandang oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian. Beliau dijangka kekal memegang jawatan tersebut untuk penggal seterusnya.















Comments