239 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia dihantar pulang dari Tawau
13 September 2024
TAWAU: Seramai 239 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, termasuk 12 kanak-kanak, telah dihantar pulang ke negara asal mereka baru-baru ini melalui Pelabuhan Tawau.
Ini merupakan sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah untuk memindahkan tahanan warga asing di negeri ini.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, menyatakan bahawa operasi ini adalah siri ke-14 bagi kategori pengusiran melalui jalan laut sepanjang tahun 2024.
"Penghantaran pulang kali ini membabitkan 186 lelaki, 41 wanita, serta 12 kanak-kanak yang dihantar bersama ibu bapa atau waris masing-masing," jelasnya.
Tahanan yang berusia antara dua hingga 72 tahun itu dihantar pulang menggunakan perkhidmatan feri dari Pelabuhan Tawau ke Terminal Tunon Taka di Nunukan, Indonesia.
Mereka sebelum ini ditahan di Depot Imigresen setelah menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Operasi ini dijalankan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu (KJRI) dan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau.
Comments