top of page
nabalunews

24 ahli majlis perbandaran Penampang angkat sumpah

3 Oktober 2024


PENAMPANG: Seramai 24 ahli profesional dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai latar belakang telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Penampang (MPP) yang baharu pada Khamis.


Majlis angkat sumpah bagi ahli majlis untuk tempoh 2024-2026 itu diadakan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di sini, yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.


Dalam ucapannya, Joachim meminta ahli-ahli majlis untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan di Penampang di bawah pimpinan Presiden MPP, Francis Chong Yu Shing.


Joachim turut mengucapkan tahniah kepada 24 ahli MPP yang terdiri daripada golongan profesional dan berpengalaman.


Beliau berharap mereka yang telah diberikan mandat ini dapat menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka untuk memajukan Majlis Perbandaran Penampang di bawah kepimpinan Francis Chong.


"Keputusan yang bakal dibuat perlu mengutamakan kepentingan awam. Peranan Ahli Majlis amat penting, terutamanya dalam membuat keputusan, mengesahkan peraturan, melaksanakan polisi, serta melaksanakan tugas dan undang-undang pihak berkuasa tempatan," katanya.


Beliau turut menyeru agar setiap ahli majlis memberikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Pelantikan ini, katanya, merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi.


"Jangan sesekali mengambil mudah pelantikan ini. Ini adalah satu amanah dan tanggungjawab, bukan peluang untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan atau saudara-mara. Keutamaan harus diberikan kepada kepentingan awam. Peganglah amanah ini dengan penuh kejujuran, keikhlasan, tanggungjawab dan integriti," tegasnya.


"Sebagai Ahli Majlis, kamu juga merupakan wakil masyarakat di kawasan masing-masing. Maka, turunlah ke lapangan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh masyarakat di kawasan tersebut, serta bantu Majlis Perbandaran Penampang dalam menangani isu-isu semasa."


Joachim yakin, dengan komitmen penuh serta kerjasama antara Ahli Majlis dan pengurusan MPP, matlamat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dapat dicapai.


Penampang secara rasmi diwartakan sebagai Majlis Perbandaran pada 6 Jun 2024.


Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.25 Kapayan merangkap Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Jannie Lasimbang; Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Noraini Idris; Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Pengerusi SME Corp Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok; Timbalan Presiden KDCA, Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun; Pengerusi Yayasan Bumiputra Sabah, Datuk John Ambrose; Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Datuk Ceaser Mandela Malakun; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais serta Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong.

Comments


bottom of page