top of page

24 PATI rakyat China dihantar pulang ke negara asal

  • nabalunews
  • Oct 30, 2024
  • 2 min read

30 Oktober 2024


TAWAU: 24 rakyat China dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk kategori usir melalui udara bagi tahun 2024 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah pada Selasa.


Pengarah Imigresen Malaysia negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata program ini melibatkan pemindahan seramai 24 orang tahanan lelaki dewasa warganegara China yang berusia di antara 31 tahun sehingga 64 tahun.


Semua tahanan ini hanya melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Tawau dan telah dihantar pulang melalui udara dengan penerbangan secara terus ke Guangzhou melalui Lapangan Terbang Tawau.


"Hukuman yang dikenakan ke atas 24 orang PATI ini adalah berdasarkan proses perundangan negara iaitu seramai 20 orang telah dikenakan hukuman bayaran kompaun berjumlah RM10,000 seorang dan dipindahkan balik ke negara asal (usir) manakala baki 4 orang hanya tindakan jabatan iaitu dipindahkan balik ke negara asal sahaja kerana mengambil kira faktor usia PATI yang telah lanjut.


"Kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Saleha berkata ini menjadikan seramai 34 orang tahanan warganegara China telah dipindahkan sepanjang tahun 2024.


Katanya statistik keseluruhan pemindahan warga asing yang melibatkan pengangkutan udara sahaja adalah seramai 256 orang.


"Berdasarkan rekod sehingga 30 Oktober 2024, JIM Sabah telah berjaya melaksanakan penghantaran pulang tahanan depot dari seluruh negeri Sabah sebanyak 98 kali melibatkan

pemindahan melalui darat, laut dan udara dengan jumlah keseluruhan PATI seramai 6,873 orang yang terdiri daripada 4,925 orang lelaki dewasa, 1,159 orang perempuan dewasa, 450 orang kanak-kanak lelaki dan 339 orang kanak-kanak perempuan," katanya.


Mereka terdiri daripada 4,805 rakyat Filipina, 1,855 warga Indonesia, 88 rakyat Pakistan, 39 warganegara Vietnam, 34 rakyat China dan 52 dari negara lain.


Menurut Saleha, kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.


Hukuman yang dikenakan juga adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan.


Katanya kekerapan program pemindahan tahanan yang dilaksanakan oleh JIM

Sabah juga adalah tertakluk dengan kerjasama dan komitmen daripada pihak kedutaan masing-masing bagi mengelakan tahanan terbabit ditahan lebih lama di depot-depot imigresen.


"Semua majikan yang menggaji pekerja asing adalah diingatkan untuk memastikan semua

pekerja yang masuk mempunyai Pas (PLKS) yang sesuai untuk bekerja di Negeri Sabah.


"Selain itu adalah diingatkan juga, agar semua individu yang memegang Pas Lawatan Sosial (PLS) bagi tujuan melancong tidak menyalahgunakan pas untuk tujuan lain atau tinggal lebih

masa dari tempoh yang dibenarkan yang boleh menyebabkan mereka didakwa dan disenarai hitam untuk masuk semula ke Sabah seterusnya ke Malaysia sekiranya melanggar syarat-syarat pas yang ditetapkan.


"Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus komited

melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI selaras dengan dasar serta perundangan yang berkuatkuasa," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page