25 Janakuasa Bergerak Ditempatkan Di 25 PPRU
- nabalunews
- Nov 28, 2025
- 2 min read

28 November 2025
KOTA KINABALU: Sebanyak 25 unit janakuasa bergerak akan ditempatkan di 25 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SE), Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata langkah itu bagi memastikan bekalan elektrik di semua pusat penjumlahan undi dalam keadaan stabil dan baik sepanjang proses penjumlahan undi dijalankan.
Katanaya, SE menyediakan 25 janakuasa bergerak dan mudah alih yang ditempatkan di pusat penjumlahan undi sebagai pelan mitigasi untuk memastikan bekalan elektrik berterusan.
“Ia adalah antara usaha SE memastikan proses penjumlahan undi PRU Sabah Ke-17 berjalan dengan lancar dan tiada insiden gangguan bekalan elektrik yang boleh menjejaskan kredibiliti proses pilihan raya, katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, SE juga sudah melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu sedia bekalan elektrik di lokasi-lokasi terbabit sentiasa terjamin sepanjang musim pilihan raya.
“Kita juga mengadakan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah bagi membincangkan persediaan dan memaklumkan langkah yang diambil SE untuk memastikan pepasangan SE sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.
Mohd Yaakob berkata, SE juga bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pendawaian dalaman dewan di bawah bidang kuasa JKR yang merangkumi pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi dalam keadaan teratur dan stabil.
Selain itu, katanya SE turut membuat pemeriksaan keselamatan dengan meningkatkan aktiviti rondaan anggota polis bantuan SE dan mengaktifkan bilik gerakan di Ibu Pejabat dan semua pejabat kawasan SE seluruh Sabah.
Sementara itu, Mohd Yaakob menjelaskan seramai 500 anggota kerja SE akan bertugas secara bergilir sepanjang hari pembuangan dan penjumlahan undi esok.
Katanya, bilik gerakan SE pula akan dibuka pada Hari Pembuangan Undi dan Penjumlahan Rasmi Undi bagi memastikan komunikasi di antara SE dan pihak-pihak tertentu dapat diurus secara lebih berkesan.
“Semua kerja-kerja terjadual yang telah dirancang awal dan melibatkan penutupan berjadual akan ditangguhkan kecuali penutupan bekalan yang melibatkan kerja-kerja kecemasan,” katanya.


















Comments