• nabalunews

26,178 BAKUL MAKANAN DIAGIHKAN DI TUJUH DAERAH SELURUH SABAH, SETAKAT 15 OKT


PARA petugas mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas Covid-19.

16 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sebanyak 26,178 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar Covid-19 di tujuh daerah seluruh Sabah, sehingga 15 Oktober, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir.Shahelmey Yahya.

Beliau berkata, agihan harian itu dilaksanakan sejak awal Oktober dan akan diteruskan tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pada 15 Oktober sebanyak 4,517 bakul makanan diagihkan kepada penduduk kampung yang memerlukan bantuan di kawasan zon merah dan tidak dibenarkan keluar.


“Daripada jumlah itu 1,088 bakul makanan diagihkan di Lahad Datu, Semporna (1,647 bakul), Kunak (401) dan Tawau sebanyak 800 bakul makanan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ir.Shahelmey berkata, pada 14 Oktober lalu, daerah-daerah yang terlibat dalam pengagihan bakul makanan ialah Sandakan (71 bakul), Kota Kinabalu (410 bakul) dan Penampang (100 bakul).

“Pengagihan bakul makanan bagi daerah Papar dilaksanakan kelmarin (15 Oktober), Putatan bermula hari ini, Tuaran (18 Oktober) dan Kota Belud (19 Oktober),” katanya.

Katanya lagi, keutamaan bantuan agihan bakul makanan di zon merah adalah untuk dua kategori iaitu penduduk yang terjejas perintah kawalan pergerakan dan keluarga yang tidak boleh keluar rumah kerana arahan kuarantin rumah.

Beliau berkata, bagi kawasan bukan zon merah pula, agihan bakul makanan adalah untuk keluarga yang kesemua ahli keluarga dikenakan kuarantin rumah.

“Jumlah sasaran untuk pengagihan bantuan juga berubah dari semasa ke semasa kerana kes positif dan kuarantin bertambah setiap hari,” katanya.

PUSAT penyediaan pengagihan bantuan bakul makanan di Kota Kinabalu.