27 Set Generator Dioperasikan Di Pantai Timur Sabah
- nabalunews
- Sep 15
- 1 min read

15 September 2025
KOTA KINABALU: Sebanyak 27 unit set generator bergerak dioperasikan di beberapa lokasi utama di Pantai Timur Sabah bagi memastikan bekalan elektrik sementara dapat dibekalkan ke kawasan terjejas.
Sabah Electricity dalam kenyataan memaklumkan set generator itu ditempatkan di tujuh daerah iaitu Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Semporna, Tawau, Lahad Datu serta Telupid.
"Masing-masing tujuh set generator digerakkan ke Beluran dan Kinabatangan manakala empat di Sandakan, empat lagi di Semporna, satu di Telupid dan masing-masing dua di Tawau serta Lahad Datu.
"Set generator berkenaan ditempatkan di lokasi strategik seperti hospital, ibu pejabat polis daerah, loji air, balai bomba dan sekitarnya,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Sabah Electricity turut memaklumkan set generator tambahan juga akan dipasang bagi menampung keperluan bekalan elektrik di kawasan terjejas.
Gangguan bekalan elektrik yang melanda enam daerah di pantai timur Sabah pada Sabtu berpunca daripada kejadian tanah runtuh yang menyebabkan salah satu menara penghantaran talian 275 kilovolt (kV) Kolopis – Segaliud tumbang berhampiran Kampung Sarapung, Penampang.
Insiden itu menjejaskan penghantaran tenaga dari pantai barat ke pantai timur, mengakibatkan kira-kira 230,000 pengguna di Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Beluran dan Kinabatangan terkesan.
Semalam, Sabah Electricity melaporkan bekalan elektrik ke Sandakan telah dipulihkan sepenuhnya.


















Comments