• nabalunews

279 KES POSITIF BAHARU DIREKODKAN DI SABAH HARI INI, TIGA KEMATIAN



8 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 279 kes positif baharu Covid-19 hari ini dengan peningkatan sebanyak 35 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 71,468 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, tiga kes kematian direkodkan hari ini iaitu masing-masing di Semporna, Lahad Datu dan Beaufort.


Kebanyakan jangkitan baharu hari ini diperolehi daripada Saringan Kluster (182 kes), Saringan Kontak Rapat (57 kes), Saringan Bergejala (23 kes), Saringan Bersasar (10 kes), dan Saringan Lain-lain kes (tujuh kes)


“Pitas merekodkan kes baharu tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 182 kes, Kota Kinabalu (47 kes), Sandakan (16 kes), Beaufort (15 kes), Tawau (14 kes), Putatan (13 kes), Kinabatangan (lapan kes), Kota Belud (tujuh kes), Penampang dan Tongod masing-masing enam kes, Kudat, Kuala Penyu dan Tuaran masing-masing empat kes, Semporna dan Kota Marudu masing-masing tiga kes serta satu kes di Kalabakan.


Menurut Masidi, peningkatan secara mendadak di Pitas adalah berpunca daripada Saringan Kluster Tanjung Pitas yang merekodkan 126 kes, satu kes Saringan Bergejala dan satu kes Saringan Lain-lain kes.


“Sebanyak 11 daerah mencatatkan sifar kes pada hari ini iaitu, Beluran, Telupid, Lahad Datu, Kunak, Ranau, Papar, Sipitang, Tenom, Nabawan, Keningau dan Tambunan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.


Mengenai jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh, Masidi berkata sebanyak 203 menjadikan jumlah kumulatif 68,739 orang.


“Seramai 1,760 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 384 orang di hospital, 1,230 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 146 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.


“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 58 orang dan 18 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.