3 lelaki warga Filipina miliki minyak petrol tanpa permit dipenjara 8 bulan
- nabalunews
- Apr 16
- 1 min read

16 April 2025
TAWAU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara masing-masing lapan bulan ke atas tiga lelaki warga Filipina kerana memiliki 5,450 liter minyak petrol tanpa permit.
Semua tertuduh, Abdul Majid Alkano, 31, Abu Bakar Ibrahim, 28, dan Omar Barli, 33, dijatuhkan hukuman itu oleh hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan berkenaan di perairan Semporna.
Ketiga-tiga tertuduh yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, turut diarahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menjalani hukuman penjara.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didapati bersama-sama memiliki barang kawalan berjadual iaitu 5,450 liter minyak petrol tanpa lesen di kawasan laut perairan utara Omadal, Semporna sekitar jam 6 pagi pada 8 April 2025.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga mereka ditahan di atas bot fiber oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dan merampas minyak petrol berkenaan di dalam 218 jeriken yang dianggarkan bernilai RM11,172.50.
Kes itu kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN Semporna, Delmansyah Syaripuddin, manakala, kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Comments