Isu Subsidi Gas LPG: Rakyat Perlu Solusi, Bukan Retorik – Dennison
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

17 Jun 2025
KOTA KINABALU: Isu subsidi gas petroleum cecair (LPG) yang hangat diperdebatkan kebelakangan ini memerlukan penyelesaian berfakta dan bertanggungjawab.
Ia berikutan kenyataan yang dikeluarkan beberapa pemimpin sebelum ini dibimbangi hanya sekadar retorik yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat, khususnya di Sabah.
Bendahari Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dennison R Indang berkata, sebarang perubahan terhadap struktur subsidi LPG perlu mengambil kira realiti geografi dan logistik Sabah yang sangat berbeza dengan Semenanjung Malaysia.
Katanya, struktur subsidi sememangnya perlu disemak agar lebih adil dan tuduhan bahawa kerajaan Persekutuan menganaktirikan Sabah tanpa bukti kukuh serta tanpa cadangan penyelesaian adalah tidak bertanggungjawab.
“Ada beberapa perkara penting perlu diambil untuk memperbetulkan salah faham umum yang tersebar iaitu antaranya, had 42 kilogram sebulan sebenarnya bukan penamatan subsidi.
“Ia sebaliknya adalah ambang kawalan penggunaan bagi isi rumah. Sekiranya penggunaan melebihi had berkenaan, peniaga hanya perlu memohon Permit Barang Kawalan (PBK)
“Inilah proses yang telah dijelaskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, berdasarkan pengumuman sebelum ini, tiada penarikan subsidi untuk peniaga kecil dan dakwaan kononnya harga gas LPG akan melonjak daripada RM26.60 kepada RM76 juga tidak berasas.
Katanya, harga kekal bersubsidi bagi peniaga yang mematuhi garis panduan dan proses sedia ada dan PBK juga bukan satu beban, tetapi hanya mekanisme kawal selia.
“Ia bukan penalti, sebaliknya mekanisme untuk mencegah penyalahgunaan subsidi oleh pihak yang tidak berhak,” katanya.
Sementara itu, Dennison berkata, masih terdapat ruang untuk menambah baik mekanisme sedia ada, termasuk cadangan agar kadar subsidi ditentukan berdasarkan faktor jarak dan keperluan khusus bagi negeri Sabah.
“Kita tidak perlukan tindakan populisme semata-mata yang hanya menakut-nakutkan rakyat. Sebaliknya, kita perlukan pendekatan yang jujur, berpandangan jauh dan berdasarkan data bagi menjamin kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Dennison turut menegaskan komitmennya untuk menyuarakan isu ini secara terbuka dan bertanggungjawab demi memastikan penyelesaian yang adil serta lestari dapat dicapai.
Comments