Eco Pelancongan "Tahas Tininting" akan dirasmikan ADUN Nabawan Julai depan
- nabalunews
- Jun 17
- 2 min read

17 Jun 2025
NABAWAN: "Tahas Tininting" salah satu Eco Pelancongan yang terkenal di daerah ini dijangka akan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, Julai depan.
Pegawai Daerah Nabawan Ts Marshal Anthony @ Idham berkata, Tahas Tininting merupakan salah satu aktiviti ekonomi yang sangat diharapkan oleh peringkat akar umbi dan komuniti.
Katanya, mereka melaksanakan aktiviti pelancongan yang berasaskan komuniti dan dibuat secara berkelompok antara semua penduduk kampung yang terlibat untuk menjayakan apa sahaja perniagaan berasaskan pelancongan di kawasan ini.

"Kita akan laksanakan perasmiannya pada bulan Julai tahun ini" katanya kepada media ketika ditemui pada majlis "ilau" Tahas Tininting pada Sabtu lepas.
Diperingkat Pejabat Daerah Nabawan katanya, beliau selaku Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Nabawan sentiasa membantu untuk mengetengahkan tempat-tempat yang unik seperti Tahas Tininting ini.
Beliau berkata, perusahaan yang diusahakan oleh komuniti berasaskan alam semulajadi mempunyai nilai dan keistimewaan yang tersendiri.
"Jadi peringkat kami, kami akan mengajukan semua permohonan yang menjurus kepada peningkatan kapasiti komuniti dan penambahbaikan di tempat ini" katanya.
Jelasnya, memang masih banyak yang perlu ditambah baik dari segi kemudahan-kemudahan asas seperti jalan raya masuk, bekalan elektrik termasuk kemudahan-kemudahan asas di kawasan Tahas Tininting.
"Kita akan cuba mengumpul semua permohonan tersebut dan kita ajukan kepada pihak-pihak berwajib untuk tindakan lanjut" tambahnya.
Pada masa sama beliau mengucapkan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin di kawasan ini yang banyak menyokong dalam usaha ini terutamanya untuk menggalakkan aktiviti ekonomi yang berasaskan komuniti di seluruh pelusuk daerah ini.
Hadir sama Pemegang Amanah Tahas Tininting Ansom Putiang @ Hanafi, Penyelaras Eco Pelancongan Tahas Tininting Aloysius Robert dan Timbalan Pengurus Produk Lembaga Pelancongan Sabah Edmund Jokinin.
Comments