Terjemah perpaduaan parti dalam semangat saling hormati – Redonah
- nabalunews
- Jun 17, 2025
- 2 min read

17 Jun 2025
BANDAU: Perpaduan dalam kalangan jentera parti perlu diterjemahkan dalam semangat saling menghormati antara anggota serta kesetiaan kepada kepimpinan.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, tanpa perpaduan, kesetiaan dan kerja keras akan menjadi sia-sia, lebih-lebih lagi usaha mempertahankan kerajaan yang diteraju Presiden Parti Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor.
"Maka amat penting bagi kita semua untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dibuktikan oleh Ketua Menteri kita, dimana Sabah pada hari ini begitu stabil, makmur dan terus bergerak maju di bawah kepimpinan beliau," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Bandau, di Dewan Komuniti Kota Marudu pada Ahad.
Persidangan itu dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat Datuk Maijul Mahap yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau.
Turut hadir ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Bandau serta tiga sayap pergerakan bahagian berkenaan.
Redonah, yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bandau turut menggesa jentera parti mengukuhkan perpaduan dan mengurangkan perselisihan sesama sesendiri ketika menghadapi pilihan raya negeri ke 17 yang semakin hampir.
Katanya, ketika ini semua pihak perlu memberi keutamaan kepada usaha mempertahankan kerajaan yang disandang pada hari ini dan bukannya isu-isu lain yang boleh melemahkan parti.
Menurut beliau, perjuangan perlu difokuskan kepada perjuangan memastikan kepimpinan diterajui Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berjaya mendapat mandat baharu daripada rakyat dalam membawa kemajuan dan pembangunan negeri Sabah.
"Gerak kerja kita perlu bersepadu, saling sokong-menyokong, saling menutupi ruang kelemahan dan kekurangan yang ada, serta saling menjayakan apa sahaja program yang dirancang. Ibarat tiang rumah yang menyokong serta batu-bata yang saling mengukuh.
"Jika ada sebarang perbezaan pendapat dan perselisihan, selesaikan sahaja di meja rundingan. Jangan gunakan media sosial untuk meluahkan perasaan, kerana tiada kebaikan yang diperoleh kepada parti, sebaliknya memberi peluang kepada pihak lawan untuk mengalahkan kita," katanya.
Katanya, perpaduan dalam kalangan jentera akan menterjemahkan semangat saling menghormati antara anggota serta kesetiaan kepada kepimpinan.
Beliau mengingatkan jentera parti bahawa parti lawan sentiasa mencari kelemahan dan keburukan Gagasan Rakyat bagi menarik sokongan rakyat.
Katanya, mereka akan berusaha menanam kebencian serta memutar-belitkan fakta bagi mengelirukan orang ramai khususnya ketika pilihan raya yang semakin hampir.
Sehubungan itu katanya, semua pihak tidak lagi boleh leka dalam melaksanakan gerak kerja termasuk menyalurkan maklumat yang betul dan tepat kepada rakyat.


















Comments