3 suspek pecah masuk kedai alat perkakasan ditahan
- nabalunews
- 3 days ago
- 1 min read

19 Ogos 2025
TAWAU: Tiga lelaki, termasuk seorang warga tempatan ditahan selepas disyaki terlibat kes pecah masuk sebuah kedai menjual alat perkakasan yang mengakibatkan kerugian RM11,000 di Taman Ria 11, Jalan Utara Baru, minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, semua suspek berusia antara 28 hingga 40 tahun itu berjaya ditangkap dalam tiga serbuan berasingan, untuk membantu siasatan.
Menurutnya, suspek pertama ditahan di Kg Tanjung Batu Darat sekitar jam 8.50 malam, susulan laporan polis berhubung kejadian dibuat mangsa berusia 47 tahun pada Rabu lalu.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah van Vanette sebelum melakukan rampasan susulan iaitu satu guni putih berisi wayar tembaga dan satu resit jualan di sebuah premis di Jalan Sin On.
“Manakala, dua lagi suspek warga asing berjaya ditahan semalam, masing-masing di sebuah tempat mencuci kereta di Jalan Morrel dan Taman Gembira, Jalan Tengku Osman pada jam 2.30 dan 3.15 petang,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas satu lagi resit jual beli dan dua guni putih berisi wayar tembaga, hasil penahanan suspek ketiga.
Terdahulu, mangsa dalam laporan polis dibuatnya menyatakan kejadian disedari berlaku sekitar jam 8 pagi selepas mendapati pintu jeriji besi di kedainya sudah digunting dan diumpil, manakala kunci mangga turut dipotong.
Champin berkata, selepas melakukan pemeriksaan, mangsa mendapati wang tunai RM3,000 dan beberapa guni putih berisi wayar logam dianggarkan bernilai RM8,000 hilang, dipercayai dicuri.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kes pecah rumah dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Comments