31 sekolah dalam DUN Kadamaian terima bantuan Yayasan Bank Rakyat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

31 sekolah dalam DUN Kadamaian terima bantuan Yayasan Bank Rakyat



18 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Sebanyak 31 buah sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima bantuan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).


Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan  Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “Bantu Sekolah” Yayasan Bank Rakyat, di Dewan SMK Narinang, di sini, hari ini.


Turut hadir Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang; Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengetua SMK Narinang Soo Yong Huat serta wakil-wakil sekolah.

Ewon merakamkan penghargaan kepada YBR atas bantuan tunai kepada kesemua sekolah di kawasan Kadamaian iaitu 28 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah.


Beliau berkata, program CSR YBR adalah permulaan kepada lebih banyak lagi program seumpama itu di Kadamaian dan seluruh Sabah pada masa akan datang.


“Ini menunjukkan badan korporat atau NGO di Malaysia mempunyai sifat kesedaran dan peka terhadap mereka yang memerlukan.

“Ini juga bukti kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat nasib golongan B40 dan semua golongan yang tidak berkemampuan serta berkeperluan dalam meningkatkan sosioekonomi melalui pendidikan,” katanya.


Sementara itu Soo berkata, pihak sekolah amat memerlukan program CSR bagi membantu mereka melaksanakan pelbagai aktiviti untuk kecemerlangan pelajar.


“Kami melaksanakan pelbagai aktiviti murid  antaranya kelas tambahan, kokurikulum, pemilihan dan menghantar pelajar mewakili  sekolah ke peringkat daerah dan seterusnya negeri yang pastinya memerlukan sumber kewangan yang banyak.

“Oleh itu, sumbangan YBR satu suntikan kepada pihak sekolah khususnya yang menerima bantuan ini supaya kami boleh merancang lebih banyak aktiviti untuk manfaat para pelajar,” katanya.


Soo berharap, lebih banyak badan korporat tampil menghulurkan bantuan kepada pihak sekolah bagi meringankan bebanan para pelajar kurang berkemampuan seterusnya memberikan peluang lebih ramai pelajar terlibat dalam aktiviti kokurikulum.





bottom of page