32 Ahli Parlimen termasuk Azmin, Zahid dan MP Warisan tidak hadir undian SOSMA di Parlimen
top of page
  • Farid Johan

32 Ahli Parlimen termasuk Azmin, Zahid dan MP Warisan tidak hadir undian SOSMA di Parlimen


21 Julai 2022

Oleh Farid Johan


KUALA LUMPUR: Seramai 32 Ahli Parlimen tidak hadir, semasa usul membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, yang menolak usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk lima tahun lagi.


Menurut Ahli Parlimen Subang Wong Chen dalam ciapan Twitternya semalam, antara yang dilihat tidak hadir ialah Azmin (Dato' Seri Mohamed Azmin Ali), Zahid (Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan Ahli Parlimen Warisan.


Pada Rabu, usul pembatalan dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi membolehkan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA itu dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat.


Usul itu diluluskan selepas undi belah bahagian dilakukan, dengan 105 Ahli Parlimen menyokong dan 83 Ahli Parlimen membantah, manakala 32 Ahli Parlimen tidak hadir.


Keputusan itu membolehkan KDN mengemukakan semula usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA yang akan berakhir 31 Julai ini di Dewan Rakyat, dijangka pada minggu depan.


Pada Mac lalu, usul berkenaan ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong dan 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

bottom of page