32 mangsa banjir dipindahkan di Nabawan
- nabalunews
- Apr 12
- 1 min read

12 April 2025
NABAWAN: Seramai 32 penduduk Kampung Pemunterian di Nabawan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Nabawan malam semalam tadi selepas kediaman mereka dinaiki air akibat bencana banjir.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan menerima panggilan kecemasan pada jam 9.15 malam sebelum tiba di lokasi pada jam 9.36 malam dengan kekuatan seramai 15 anggota.
“Komander Operasi (K/O) lapor berlaku banjir di Kampung Pemunterian Nabawan. Pasukan Bomba bertindak memindahkan 32 orang mangsa ke PPS Dewan Serbaguna Nabawan. Pemantauan berterusan dijalankan dan setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan,” menurut kenyataan rasmi JBPM Negeri Sabah.
Operasi terkawal dicapai pada jam 11.21 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.50 malam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.
Maklumat mangsa yang dipindahkan adalah seperti berikut: dua lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan.
Operasi turut dibantu oleh anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), manakala logistik yang digunakan termasuk satu jentera CFRT dan dua bot milik NADMA.
Comments