33 koperasi daripada 100 koperasi terbaik di Wilayah Persekutuan - Ewon

19 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, 33 koperasi yang tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia adalah di Wilayah Persekutuan pada tahun lalu.
Beliau berkata, secara keseluruhannya sejumlah 1,171 koperasi berdaftar di Wilayah Persekutuan sehingga Disember 2023 dengan keanggotaan seramai 2.39 juta.
“Ini dikukuhkan lagi dengan kedudukan aset secara keseluruhannya berjumlah RM21.65 billion dan menjana modal syer/yuran berjumlah RM8.95 billion manakala perolehan RM5.67 billion.
“Bagi saya, ini satu angka yang besar dan mampu mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang kukuh dan mampan.
“Nilai aset yang menjadi tunjang kekuatan gerakan koperasi di negara ini harus digunakan secara mampan dengan dikembangkan melalui platform pelaburan yang berdaya saing dan berimpak tinggi bagi memberikan tujahan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product (GDP) yang disumbangkan oleh gerakan koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan sempena Hari Koperasi Negara Peringkat Wilayah Persekutuan 2024 (HKNWP 2024) di Dewan Sri Siantan, Perbadanan Putrajaya, di sini, semalam.
Ewon berharap, sambutan HKNWP 2024 dapat memberi pendedahan kepada masyarakat Malaysia dan menarik minat rakyat terutamanya golongan profesional dan belia untuk menjadikan koperasi sebagai gaya hidup.
“Gerakan koperasi sememangnya memerlukan tenaga muda dan idea yang baharu agar dapat berkembang dinamik dan kekal relevan dengan perkembangan sosioekonomi negara.
“Saya juga menyeru kepada gerakan koperasi Wilayah Persekutuan supaya sama-sama berganding bahu dan bermuafakat meningkatkan pencapaian koperasi agar terus mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Pada majlis itu Ewon menyampaikan 50 Anugerah Koperasi Terbaik, tiga Anugerah Khas Koperasi dan masing-masing satu penerima anugerah bagi kategori Koperasi Harapan dan Tokoh Koperasi bagi Wilayah Persekutuan.
Ewon turut melancarkan New Strategic Initiative (NSI) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan, iaitu Projek Rumah Selangorku: Shorea Garden yang dimajukan oleh Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat).
Projek Rumah SelangorKu Sorea Garden yang bernilai RM63.8 juta itu merupakan projek pembangunan usahasama di antara Koperasi Sahabat Berhad dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS).
Mengenai program Jualan Madani Koperasi Usahawan (JMKU) Ewon berkata, ia bertujuan untuk membantu rakyat khususnya golongan B40 yang dihimpit oleh kenaikan harga barangan di pasaran.
“Kementerian melalui SKM terus melaksanakan JMKU dalam menyediakan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, telur, daging lembu, ayam, ikan dan sebagainya. Ia memberikan tawaran penjimatan harga sehingga 20% berbanding harga pasaran,” katanya.
Katanya lagi, sehingga 18 Julai 2024, sebanyak 60 program JMKU/JMK telah dilaksanakan dengan jumlah insentif yang diluluskan sebanyak RM1.59 juta dan jumlah jualan direkodkan sebanyak RM5.53 juta.
Comments