334 pelajar cemerlang terima bantuan awal pengajian YBR
top of page
  • Wartawan Nabalu News

334 pelajar cemerlang terima bantuan awal pengajian YBR


19 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Seramai 334 pelajar cemerlang dikalangan B40 menerima Bantuan Awal Pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).


Majlis Perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR itu disempurnakan oleh Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang, hari ini.


Turut hadir, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Penampang Sektor Perancangan, Germaine Marcella Sikijip dan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.


Majlis itu dijayakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Penampang.


Melalui inisiatif ini, YBR telah memberi bantuan kepada penerima yang layak sebagai sokongan memulakan semester atau menyediakan peralatan pengajian yang diperlukan.


Ketika berucap pada majlis itu, Jannie merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan yang diberikan oleh YBR dalam membantu golongan memerlukan khususnya pelajar kurang berkemampuan.


"Usaha ini merupakan satu kerjasama padu bersama badan korporat di mana ia merupakan titik permulaan baik dalam membantu mereka yang memerlukan dan membuktikan warga pendidik boleh berganding bahu bersama organisasi swasta yang lain untuk mencapai matlamat pendidikan," katanya.


Sementara itu Philip Benedict berkata, bantuan tunai diberikan kepada setiap pelajar yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang serta sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kepada mereka atas usaha cemerlang sepanjang tempoh persekolahan mereka.


"Bagi meneruskan usaha melestarikan matlamat untuk meningkatkan taraf pendidikan di Malaysia, bantuan hari ini merangkumi pelajar matrikulasi serta IPTA dan IPTS yang menerima Bantuan Awal Pendidikan YBR," katanya.


Dalam pada itu, salah seorang penerima bantuan, Adriano Gatino, 18, berkata, pendidikan mampu mengubah nasib kehidupan keluarganya untuk ke peringkat seterusnya.


Selain itu, Norazlin Amit @ James, 20, pelajar di Kolej Cyberjaya Kota Kinabalu turut berkata, “dengan bantuan ini saya dapat menggunakannya untuk membuat persediaan awal sebelum memulakan semester yang akan bermula tidak lama lagi dengan menyediakan keperluan asas yang diperlukan.


"Terima kasih YBR kerana ia sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan yang perlu dihadapi.”

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page