top of page
nabalunews

34 INDIVIDU CIPTA APLIKASI JUDI DALAM TALIAN DITAHAN DI BAWAH POCA

30 OKTOBER 2020

PETALING JAYA: Seramai 34 pekerja syarikat mencipta dan menyelenggara aplikasi perjudian secara dalam talian bagi pasaran luar negara yang diserbu pada 2 Okt lepas, ditahan semula mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mereka terdiri 25 lelaki dan sembilan wanita warga tempatan berusia 21 hingga 43 tahun, yang sebelum ini ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Seksyen 13 di sini, kerana menjalankan kegiatan berkenaan.

Beliau berkata siasatan mendapati mereka ditahan itu terdiri daripada graduan universiti tempatan yang memiliki kemahiran dalam menghasilkan dan menyelenggara aplikasi tersebut, antaranya sebagai pereka dan mengkaji minat orang ramai mengenai aktiviti perjudian.

“Siasatan juga mendapati mereka menghasilkan kira-kira 500 aplikasi bagi kegunaan syarikat perjudian di luar negara termasuk di Thailand dan digaji antara RM2,500 sehingga RM10,000 sebulan bergantung kepada tahap kemahiran.

“Kesemua mereka dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman. Tangkapan ini adalah pertama di negara ini bagi syarikat yang membina dan menyelenggara aplikasi perjudian dalam talian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata arahan untuk mendakwa pemilik premis itu mengikut Seksyen 4B(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 juga sudah diperoleh, daripada Timbalan Pendakwa Raya pada 23 Okt.

Sebelum ini, Bernama melaporkan pada 2 Okt lepas, polis menahan 40 warga tempatan termasuk seorang lelaki yang berperanan sebagai pengendali dan dua pengurus syarikat membina dan menyelenggara aplikasi perjudian itu, dalam serbuan tersebut. – Bernama

コメント


bottom of page