36 pengadil sertai Seminar dan Ujian Kecergasan Tahunan Pengadil Bola Sepak Kebangsaan di Tawau
- nabalunews
- Jul 10, 2025
- 2 min read

10 Julai 2025
TAWAU: Seramai 36 peserta Seminar dan Ujian Kecergasan Tahunan Pengadil Bola Sepak Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2025/2026 yang berlangsung di Tawau, bakal bergelar pengadil bertauliah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.70 Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata, mereka dibekalkan dengan pelbagai pengisian, khususnya dari segi pemantapan integriti dan minda sukan.
Ini kerana, katanya, cabaran sebagai seorang pengadil sememangnya amat tinggi ketika beraksi di padang bola bagi memastikan sesebuah perlawanan diadili dengan seadil-adilnya, selain berdepan pelbagai risiko, termasuk unsur rasuah.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar tersebut yang turut dihadiri Ketua Unit Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kassim Kadir Bacha, di sini, semalam.
Menyentuh program itu, Rina yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah berkata, ini adalah satu pencapaian sangat membanggakan apabila Tawau terpilih sebagai destinasi penganjuran seminar peringkat Zon Sabah oleh FAM.
Menurutnya, seminar tersebut mampu menyuntik semangat juang yang tinggi dalam kalangan para peserta, khususnya pengadil-pengadil muda agar terus aktif dan mencapai banyak kejayaan membanggakan.
Beliau berharap kehadiran FAM itu juga akan dapat mencungkil lebih ramai bakat muda dan berpotensi, termasuk pengadil wanita di negeri Sabah, khususnya Tawau.
Dalam masa yang sama, Rina berharap FAM dapat membantu Sabah menaik-taraf kualiti padang bola di negeri ini yang banyak ketinggalan, memandangkan Sabah banyak melahirkan bintang sukan membanggakan negara.
Sementara itu, Kassim Kadir berkata, jumlah pengadil di Sabah semakin menunjukkan peningkatan ketara apabila seminar yang dianjurkan berjaya menarik penyertaan 36 orang berbanding hanya 15 sebelum ini.
Menerusi seminar yang diadakan, pihaknya memberi penekanan utama terhadap pelbagai aspek, khususnya integriti sebagai seorang pengadil dan juga minda sukan dalam diri mereka serta melahirkan lebih ramai pengadil wanita dan muda dari Sabah.















Comments