382 peserta jayakan Childhood Cancer Awareness 5km Walkathon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

382 peserta jayakan Childhood Cancer Awareness 5km Walkathon


Raman melepaskan peserta untuk berjalan.

27 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seramai 382 peserta menjayakan Childhood Cancer Awarenesss 5km Walkathon baru-baru ini sempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-kanak yang disambut pada bulan September setiap tahun.

 

Bertempat di padang kawad dan laluan sekitar UMS, program tersebut merupakan anjuran bersama Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS), Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan Persatuan Kanser Kanak-kanak Sabah.

 

Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS,  Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

 

Beliau yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor UMS berkata, penganjuran program itu turut menyaksikan penyertaan dalam kalangan pesakit kanser dan cancer survivor.

 

“Secara peribadi, saya sangat kagum dengan semangat dan penglibatan anda dan kita semua seharusnya memberi sokongan kepada kumpulan ini.

 

“Sehubungan itu, besarlah harapan saya agar usaha-usaha sebegini dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat seiring dengan peningkatan gaya hidup sihat serta kesedaran terhadap penjagaan kesihatan,” katanya.

 

Program itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam berkaitan kanser yang dihidapi oleh kanak-kanak serta menjana dana untuk disalurkan kepada Persatuan Kanser Kanak-kanak Sabah.

 

Turut menyertai program itu, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Pengarah HUMS, Profesor Dr. Helen Lasimbang; dan Presiden Kelab Rotary Teluk Likas yang juga Pakar Kanser Kanak-kanak HWKKS, Dr. Asohan Thevarajah.

 

Turut terlibat ahli Kelab Kebajikan dan Rekreasi HUMS, Kiwanis Club of Sabah, Kelab Rotaract UMS, Kelab Rotary Kota Kinabalu serta penaja-penaja program.

bottom of page