39,276 warga asing didaftarkan melalui sistem S.W.I.M.S - Nizam
top of page
  • Wartawan Nabalu News

39,276 warga asing didaftarkan melalui sistem S.W.I.M.S - Nizam


25 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seramai 39,276 warga asing berjaya direkodkan ke dalam Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S) dan diperakukan oleh majikan, setakat ini.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, daripada jumlah itu 21,994 orang pekerja dan 17,282 orang tanggungan.


Beliau berkata, maklumat perincian penuh akan dimaklumkan setelah aktiviti pendataan digital lengkap sepenuhnya.


“Bagi golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) pula, kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu-isu keselamatan melibatkan PATI di Sabah.


“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah dan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan akan sentiasa melaksanakan operasi penangkapan dan pengusiran terhadap golongan-golongan ini,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan, persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Nizam menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) yang bertanya apakah status semasa cadangan pendataan digital pendatang asing di Sabah dan berapakah jumlah pendatang asing terkini yang direkodkan di Sabah.


Nizam berkata, Program Outreach Aktiviti Pendataan Digital mula dilaksanakan

sejak September 2022 sehingga kini dan masih lagi aktif dilaksanakan di lapangan.


Katanya, pada fasa permulaan, Program Outreach Aktiviti Pendataan Digital ini tertumpu kepada sektor perladangan dan pembinaan.


“Ini kerana kedua-dua sektor ini mempunyai bilangan warga asing yang tertinggi dan juga permintaan tenaga kerja yang aktif dalam kategori 3D iaitu Dirty, Difficult and Dangerous.


“Sejak bermulanya program Outreach Aktiviti Pendataan Digital pada 12 September 2022 sehingga kini, program ini

sedang berjalan dengan aktif, termasuk semasa bulan Ramadan,” katanya.


Nizam berkata, setakat ini lima buah syarikat perladangan telah menyertai dan terlibat sepenuhnya.


“Syarikat itu ialah Kumpulan Sawit Kinabalu; Sabah Softwood Berhad; Benta Wawasan Sdn. Bhd.; FGV Plantations; dan Cepat Wawasan Group Berhad,” katanya.


Beliau berkata, warga asing melalui program ini didaftarkan dan didatakan secara digital melibatkan pengambilan maklumat peribadi, facial recognition dan biometric dengan menggunakan Sistem S.W.I.M.S.


“Warga asing ini didatakan berdasarkan matriks pendataan berpandukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.


bottom of page