39 Rumah Setinggan Diroboh DBKK & JPS Di Likas Square
- nabalunews
- 17 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA KINABALU, 14 Julai 2026 – Sebanyak 39 buah rumah setinggan di belakang Likas Square dirobohkan dalam Operasi Bersepadu Perobohan Struktur Haram pada 9 Julai lalu bagi memulihkan fungsi rizab parit dan sungai serta mengurangkan risiko banjir di bandaraya ini.
Operasi yang bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang itu berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini, melibatkan 25 anggota daripada pelbagai agensi diketuai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selaku pemilik kawasan rizab.

Daripada jumlah itu, 38 buah rumah dirobohkan menggunakan jentera kontraktor yang dilantik oleh JPS, manakala sebuah lagi dirobohkan sendiri oleh pemiliknya.
Penguatkuasaan ini bukan kali pertama dilakukan di kawasan tersebut. Hasil pemantauan mendapati struktur haram telah didirikan semula oleh penghuni yang dikenal pasti sebagai bukan warganegara, sekali gus menjejaskan sistem saliran, keselamatan awam dan kelestarian alam sekitar.

Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), sebanyak 39 Notis Pengosongan, Perobohan dan Pengalihan telah diserahkan pada 25 Jun 2026, dengan tempoh pematuhan selama 14 hari diberikan kepada penghuni sebelum operasi dilaksanakan pada 9 Julai 2026.
Operasi bersepadu ini melibatkan JPS selaku agensi peneraju, Jabatan Penguatkuasaan DBKK melalui Bahagian Perobohan dan Struktur Haram, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity serta Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT).
DBKK menegaskan bahawa sebarang pembinaan rumah atau struktur tanpa kelulusan di atas tanah kerajaan, termasuk kawasan rizab sungai dan rizab parit, merupakan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Tindakan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membanteras pencerobohan tanah kerajaan, memelihara rizab sungai dan sistem saliran, serta memastikan pembangunan bandar raya berjalan secara terancang, selamat dan patuh undang-undang.
DBKK menegaskan penguatkuasaan akan terus diperkasakan secara konsisten bagi memelihara kepentingan awam, melindungi aset kerajaan serta memastikan kesejahteraan bandar raya.
Sehubungan itu, DBKK menyeru orang ramai supaya tidak menceroboh tanah kerajaan atau membina sebarang struktur tanpa kelulusan pihak berkuasa. Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai sebuah bandar raya yang selamat, bersih, berdaya huni dan mampan.











