Polis Beaufort tahan empat suspek kes buli pelajar 16 tahun
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
BEAUFORT, 14 Julai – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort mengesahkan penahanan empat individu bagi membantu siasatan kes buli dan ugutan jenayah membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di daerah Membakut.
Kesemua suspek yang ditahan itu kini direman bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan (gangguan melalui perkataan/komunikasi) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah).
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh dalam kenyataan memaklumkan bahawa satu laporan polis telah diterima berhubung kejadian yang dipercayai berlaku di kawasan Membakut itu, sebelum tindakan tangkapan segera dijalankan hasil risikan dan siasatan awal.

"Siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan selanjutnya," katanya.
Polis Diraja Malaysia memandang serius sebarang bentuk buli, ugutan, pemerasan atau perlakuan yang mengancam keselamatan pelajar, dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang bersalah tanpa mengira latar belakang.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru ibu bapa, guru, pelajar dan orang ramai supaya segera membuat laporan jika menjadi mangsa atau saksi kejadian seumpama ini. Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial demi menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.











