3P Sokong Penuh Peningkatan Pemberian Khas Interim RM1.5 Bilion Kepada Sabah

9 Jun 2026
Oleh: Romie Stanley DGuns
KOTA KINABALU: Pertubuhan Usahawan Dusun Sabah (3P) menyokong penuh peningkatan bayaran interim pemberian khas kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden 3P, Saikam Salinggou berkata, peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan hak kewangan dan pembangunan Sabah.
Menurutnya, walaupun bayaran berkenaan bersifat interim sementara mekanisme tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri dimuktamadkan, ia tetap merupakan langkah positif yang mampu mempercepatkan agenda pembangunan negeri.
Beliau berkata, peruntukan tersebut perlu diagihkan secara telus, berintegriti dan memberi impak langsung kepada rakyat melalui pelaksanaan projek yang benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.
Katanya, keutamaan wajar diberikan kepada pembangunan infrastruktur luar bandar, bekalan air bersih, elektrik, kesihatan, pendidikan, internet berkelajuan tinggi, keusahawanan tempatan, pertanian moden, pelancongan komuniti serta pembangunan modal insan.
“Dana pembangunan tidak seharusnya tertumpu kepada projek yang kurang memberi manfaat kepada rakyat. Sebaliknya, ia perlu disalurkan kepada sektor yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan meningkatkan taraf hidup masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Saikam turut menekankan kepentingan memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan yang menjadi tunjang ekonomi Sabah, terutama dalam kalangan usahawan luar bandar yang masih berdepan cabaran mendapatkan modal, teknologi, latihan dan akses pasaran.
Beliau berkata, setiap projek yang dibiayai menerusi peruntukan berkenaan juga perlu dipantau secara berkala melalui mekanisme pelaporan yang jelas bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaannya.
“Ketelusan dalam pengurusan dana awam adalah penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh golongan sasar,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa semua pihak supaya mengelakkan polemik politik yang tidak produktif dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memastikan dana pembangunan itu sampai kepada rakyat yang memerlukan.
Menurutnya, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, sektor swasta dan masyarakat sivil amat penting bagi mempercepatkan pembangunan Sabah secara menyeluruh dan mampan.
“3P menyokong penuh pemberian khas interim RM1.5 bilion kepada Sabah dan berharap dana ini diurus secara telus, berintegriti serta berorientasikan hasil demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu bukan sekadar angka, sebaliknya peluang untuk mempercepatkan transformasi Sabah ke arah negeri yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera.















Comments