• Wartawan Nabalu News

4,900 KIR DARI 76 KAMPUNG DUN PITAS TERIMA SUMBANGAN BAKUL MAKANAN



26 Jan 2021


PITAS: Kerajaan Negeri melalui Pusat Bantuan Bencana terus menyalurkan bantuan bakul makanan kepada seluruh rakyat di negeri ini termasuk 4,900 Ketua Isi Rumah (KIR) dari 76 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah berkata, bantuan itu disalurkan kepada penduduk di kampung-kampung yang terputus hubungan dan bekalan makanan ekoran hujan berterusan.


"Hujan berterusan sejak seminggu lalu menyebabkan banyak kampung terputus hubungan jalan raya akibat banjir dan menyebabkan bekalan makanan terputus.


“Oleh itu sebagai wakil rakyat saya terpanggil untuk tampil membantu,” katanya yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.


Bantuan bakul makanan yang diedarkan adalah sumbangan Kerajaan Negeri dan sumbangan peribadinya termasuk kos penghantaran ke kawasan pendalaman menggunakan lori dan sampan juga dibiayai oleh Ruddy.


Menurut Ruddy, beliau sendiri telah menambah sebanyak 2,500 bakul makanan kepada penduduk kawasan Pitas yang terjejas akibat banjir.


Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk agenda-agensi kerajaan, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil memberikan bantuan kepada penduduk di Pitas yang terjejas akibat bencana alam itu.


Terdahulu, Ruddy menyampaikan sumbangan pelitup muka dan lampu solar daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pitas.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com